Kerjasama Strategik LPNM, SLDB & LPP Pacu Pertumbuhan Industri Nanas Sabah

LocalBusiness & Finance
4 Aug 2025 • 10:13 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Industri nanas di Sabah dijangka memasuki fasa pembangunan baharu melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), serta Perjanjian Kerjasama Pembangunan Tanaman Nanas Negeri Sabah antara LPNM dan LPP.

Kerjasama pacu pertumbuhan industri nanas Sabah

image is not available

Majlis menandatangani dokumen tersebut berlangsung sempena Hari Peladang, Peternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 1–3 Ogos, disaksikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, dan Timbalan Menteri, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

image is not available

Pemangkin sektor nanas Sabah

Pengerusi LPNM, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, kerjasama strategik tiga penjuru ini akan menjadi pemangkin pertumbuhan sektor nanas di Sabah, seterusnya memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pengeluar nanas berdaya saing di peringkat global.

image is not available

“Kerjasama ini adalah manifestasi komitmen kami untuk membina industri nanas yang lebih berstruktur, berteknologi dan mampan. Sabah bukan sahaja berpotensi menjadi hab pengeluaran nanas, malah menjadi peneraju kepada eksport nanas Malaysia ke pasaran Asia Timur dan Timur Tengah,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

image is not available

Sabah kini berada di kedudukan keempat terbesar dalam penanaman nanas selepas Johor, Sarawak dan Pahang, dengan keluasan 1,370 hektar daripada keseluruhan 18,640 hektar tanaman nanas negara. Potensi ini didorong oleh keluasan tanah yang sesuai, iklim tropika stabil dan sokongan kerajaan negeri terhadap pembangunan komoditi tersebut.

Melalui MoU ini, empat fokus utama akan dilaksanakan iaitu pembangunan tanah milik SLDB untuk projek berskala komersial, pembangunan teknologi dan varieti baharu nanas berkualiti tinggi oleh LPNM, pemindahan kemahiran melalui latihan dan demonstrasi teknologi bersama LPP, serta pengukuhan ekosistem industri melalui modul pengeluaran, pemasaran dan galakan industri.

MoU ini berkuat kuasa selama tiga tahun dan boleh diperbaharui dengan persetujuan bersama. Pelaksanaan akan diselaras melalui wakil setiap agensi yang akan memantau kemajuan, merancang pelaksanaan dan menilai impak inisiatif ini.