Kerjasama UTHM perkasa bakat, perkukuh ekosistem pengangkutan awam

LocalPolitics
20 Aug 2026 • 12:59 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Kerjasama UTHM perkasa bakat, perkukuh ekosistem pengangkutan awam

SHAH ALAM, 20 OGOS: Kerjasama Kerajaan Selangor dengan Universiti Tun Hussain Onn Malaysia (UTHM) membuka lebih banyak laluan pembangunan bakat, termasuk peluang graduan Pusat Pembangunan Kemahiran dan Teknikal Selangor (STDC) melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peluang melanjutkan pengajian ke peringkat diploma dan ijazah sarjana muda melengkapkan laluan pembangunan bakat secara lebih tersusun, bermula daripada pendidikan berasaskan kemahiran hingga ke peringkat pendidikan tinggi.

Dalam masa sama, beliau berkata kehadiran Metro System Academy UTHM (MSA UTHM) di Selangor menjadi langkah strategik untuk menyokong keperluan tenaga mahir dalam memperkukuh ekosistem pengangkutan awam negeri.

Katanya, keperluan itu semakin penting selari dengan pembangunan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3), Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan jajaran Transit Aliran Massa (MRT).

Image from: Kerjasama UTHM perkasa bakat, perkukuh ekosistem pengangkutan awam
Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada pelancaran School Treasure Hunt Adventure: Selangor - We Are The Champions (STARS 2026) di Metro System Academy UTHM (MSA UTHM), Kwasa Damansara, Shah Alam, pada 19 Ogos 2026. Foto Facebook Amirudin Shari

“Kehadiran MSA UTHM di Selangor juga strategik ketika negeri ini sedang memperkukuh ekosistem pengangkutan awam. Keperluan terhadap tenaga mahir tempatan akan terus meningkat, justeru usaha reskilling, upskilling dan pensijilan profesional perlu bergerak seiring dengan pembangunan infrastruktur.

“Insya-Allah, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh kerjasama antara kerajaan, institusi pendidikan dan industri bagi melahirkan generasi berkemahiran tinggi yang mampu mengisi pekerjaan masa hadapan serta memacu pembangunan Selangor,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata demikian selepas meluncurkan School Treasure Hunt Adventure: Selangor - We Are The Champions (STARS 2026) serta menghadiri Sambutan Hari Kebangsaan peringkat UTHM di MSA UTHM, Kwasa Damansara, semalam.

Program berkenaan merupakan kesinambungan Trackrail Selangor yang diperkenalkan tahun lalu, dengan aktiviti treasure hunt di beberapa stesen MRT terpilih di seluruh Selangor.

Menurut Amirudin, pendekatan itu memberi peluang kepada pelajar sekolah menengah mengenali dunia rel dan mobiliti mampan dalam suasana pembelajaran yang lebih interaktif.

“Kita mahu pembelajaran melangkaui bilik darjah sambil memupuk minat terhadap STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) serta peluang kerjaya dalam industri rel,” katanya.

Sementara itu, Amirudin sebelum ini memaklumkan jajaran pertama Projek Rel Kita Selangor yang menghubungkan kawasan selatan negeri dijangka dibangunkan tahun depan menerusi kerjasama Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Menurutnya, perbincangan kini berada di peringkat akhir bagi memuktamadkan perkara berkaitan projek berkenaan sebelum pelaksanaannya dapat dimulakan.

Image from: Kerjasama UTHM perkasa bakat, perkukuh ekosistem pengangkutan awam
Delegasi Mesyuarat Majlis Industri Rel Negeri Selangor bergambar bersama selepas sesi lawatan ke Kompleks Rapid Rail Subang yang memberi fokus kepada pembangunan ekosistem industri rel dan bakat tempatan. Foto Facebook Amirudin Shari

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved