
SHAH ALAM, 28 JULAI: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) bersama Pusat Pembangunan Tenaga Manusia Selangor (SHRDC) akan memperkukuh agenda inovasi kecerdasan buatan (AI) negeri menerusi pembangunan bakat serta pengukuhan ekosistem teknologi.
EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Muhammad Fahmi Ngah berkata aset terbesar Selangor ialah rakyatnya, khususnya golongan muda tanpa mengira kaum dan agama yang perlu diperkasa dengan ilmu, kemahiran serta peluang untuk terus berinovasi.
Beliau berkata Selangor berhasrat melahirkan lebih ramai pencipta teknologi dan bukan sekadar pengguna teknologi, selaras keperluan membina generasi yang berdaya saing bagi menghadapi cabaran masa depan.
“PPAS kini bukan lagi sekadar perpustakaan, sebaliknya hab ilmu yang menyediakan ruang pembelajaran, perkongsian pengetahuan dan pencetusan idea bagi membentuk generasi berpengetahuan sejak usia muda.
“Peranan perpustakaan turut berkembang sebagai platform membina kemahiran dan mengembangkan inovasi menerusi persekitaran pembelajaran yang melahirkan generasi kreatif serta berdaya saing,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Penutup Liga Robotik Dunia FutureForge 2026 Pertandingan Pengekodan dan Robotik Antarabangsa di Perpustakaan Raja Tun Uda, di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, Muhammad Fahmi berkata PPAS bersama SHRDC akan melancarkan Pusat Kecemerlangan Dron (CoE) di Universiti Selangor (UNISEL) kampus Bestari Jaya hujung bulan ini sebagai sebahagian usaha memperkukuh pembangunan teknologi negeri.
Katanya, kerjasama kedua-dua institusi itu akan menjadi pemacu kepada agenda inovasi AI Selangor bermula tahun ini sekali gus membuka lebih banyak peluang pembangunan bakat teknologi.
Sebelum ini, UNISEL memeterai memorandum persefahaman bersama Selangor Aviation and Technology Innovation (SELATI) pada November 2021 bagi membangunkan CoE susulan kemudahan serta persekitaran strategik institusi itu dalam memacu industri dron.
Selain itu, EXCO Pelaburan Ng Sze Han sebelum ini memaklumkan Kerajaan Negeri memberi tumpuan kepada industri aeroangkasa dan dron bagi meningkatkan nilai pelaburan serta memacu pertumbuhan ekonomi.
Penganjuran Pameran Udara Selangor sejak 2021 turut menjadi platform menggalakkan perkembangan sektor aeroangkasa selain membantu syarikat tempatan meneroka peluang dalam industri berkenaan.






