
KUALA LUMPUR 12 Dis – Kerjaya Prospek Group Berhad (Kerjaya) mengukuhkan kehadirannya di Johor Bahru selepas anak syarikat milik penuhnya, Kerjaya Prospek (M) Sdn. Bhd., dianugerahkan kontrak bernilai RM225 juta oleh Majestic Gen Sdn. Bhd. bagi projek pembangunan menara pangsapuri servis Gen Sphere.
Projek yang terletak berhampiran Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) serta Stesen Transit Rapid Bukit Chagar (RTS) ini menampilkan menara 50 tingkat dengan 996 unit pangsapuri, dua tingkat kemudahan rekreasi, serta ruang komersial.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, kerja-kerja pembinaan dijadualkan bermula pada 16 Januari 2026 dan dijangka siap dalam tempoh 38 bulan.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kerjaya, Tee Eng Tiong, berkata projek baharu ini merupakan kejayaan kedua syarikat di Johor Bahru bagi 2025, selari dengan pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura.
“Johor Bahru kini sedang berkembang pesat sebagai hab ekonomi yang dinamik. Kami berhasrat memperkukuh kehadiran kami di rantau ini sambil terus mengekalkan projek di Pulau Pinang dan Lembah Klang.
"Setakat ini, Kumpulan telah menandatangani 12 kontrak bernilai RM1.8 bilion, menjadikan jumlah buku pesanan belum siap RM4.3 bilion,” katanya.
Eng Tiong menegaskan syarikat kekal komited untuk mengekalkan standard kualiti tertinggi dalam setiap projek bagi memastikan kejayaan pembangunan pelanggan. - DagangNews.com



