
KUALA LUMPUR 12 Dis – Kerjaya Prospek Group Berhad meneruskan prestasi kukuhnya tahun ini apabila memperoleh satu lagi projek baharu di Johor Bahru dengan nilai kontrak berjumlah RM225 juta yang dianugerahkan oleh Majestic Gen Sdn. Bhd.
Kontrak tersebut melibatkan pembinaan Gen Sphere, sebuah pangsapuri servis setinggi 50 tingkat yang turut merangkumi komponen komersial.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Kerja Prospek berkata, projek itu terletak berhampiran Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) serta Stesen Transit Rapid (RTS) Bukit Chagar, menjadikannya antara pembangunan strategik di lokasi transit utama.
“Gen Sphere akan menempatkan sebanyak 996 unit, dua tingkat kemudahan rekreasi dan ruang komersial lain.
“Kerja-kerja pembinaan dijadual bermula pada 16 Januari 2026 dan dijangka siap dalam tempoh 38 bulan,” katanya dalam makluman tersebut.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kerjaya Prospek, Tee Eng Tiong berkata, kontrak tersebut menandakan kejayaan kedua kumpulan itu di Johor Bahru bagi tahun 2025.
Beliau berkata, perkembangan ekonomi hasil penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura membuka peluang pertumbuhan baharu di wilayah itu, sekali gus menjadikan Johor Bahru sebagai hab ekonomi yang semakin pesat.
“Kami berhasrat memperkukuh kehadiran di Johor dan memperluaskan operasi di Pulau Pinang dan Lembah Klang.
“Setakat ini, Kumpulan telah memperoleh 12 kontrak dengan jumlah keseluruhan RM1.8 bilion, menjadikan nilai buku pesanan tertunggak kami kepada RM4.3 bilion,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Tee, Kerjaya kekal yakin dengan keupayaannya untuk mengekalkan standard pembinaan berkualiti tinggi serta memastikan penyerahan projek mengikut jadual.
Kerjaya Prospek bermula sebagai syarikat yang memberi tumpuan kepada produk pencahayaan dan kabinet dapur premium sebelum berkembang ke dalam bidang pembinaan, pembangunan hartanah dan pengurusan projek.
Kini, syarikat itu terkenal sebagai kontraktor utama untuk projek kediaman premium bertingkat tinggi serta projek komersial.
Ia turut terlibat dalam kerja-kerja infrastruktur sejak 2016 apabila memenangi projek penambakan fasa kedua Seri Tanjung Pinang (Andaman) di Pulau Pinang.- DagangNews.com

