SHAH ALAM - Polis telah melengkapkan kertas siasatan berkaitan kes seorang lelaki yang mencetuskan kontroversi isu agama di Surau Taman Seraya, Ampang.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kertas siasatan itu juga telah diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Selangor.
"Kertas siasatan telah dilengkapkan dan diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Selangor untuk kajian dan arahan selanjutnya.
"Setakat ini, tiada elemen luar lain berkaitan isu itu dan ia tidak dipengaruhi unsur luar. Suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Jumaat.
Pada 26 April lalu, media melaporkan lelaki tempatan berusia 46 tahun itu ditahan di Pandan Indah kira-kira jam 3 petang bagi membantu siasatan berkaitan kes ingkar perintah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung solat Jumaat di surau terbabit.
Shazeli dilaporkan berkata, polis telah merampas sebuah komputer riba, telefon bimbit serta beberapa dokumen berkaitan bagi siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Media sebelum ini melaporkan jawatankuasa sebuah surau di Ampang membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah susulan dakwaan terdapat individu membuat bantahan terhadap pengurusan surau berkenaan membabitkan azan serta solat Jumaat.






