SHAH ALAM - Polis masih giat memburu sekumpulan lelaki bermotosikal yang membakar dua kenderaan milik seorang pengimpal di Kapar, Klang pada 28 April lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya sebelum ini telah melaksanakan siri tangkapan susulan kejadian itu.
"Setakat ini, tiada lagi tangkapan positif yang terlibat bagi membantu siasatan kes berkenaan.
"Namun, siasatan masih diteruskan dan polis mempergiatkan operasi mengesan suspek berkenaan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Jumaat.
Tambah Shazeli, motif kes itu belum dikenal pasti dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
Media sebelum ini melaporkan tindakan berani kumpulan lelaki itu menggemparkan penduduk di Kapar kira-kira jam 12.12 tengah malam.
Kejadian tular itu disedari mangsa berusia 55 tahun selepas terdengar bunyi letupan sebelum melihat Toyota Avanza dan Perodua Myvi miliknya terbakar.
Dalam pada itu, kata Shazeli, polis masih menyiasat kes membabitkan 12 anggota polis termasuk empat pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam rompakan berkumpulan di Kajang pada Februari lalu.
"Kes itu setakat ini masih pada status sama dan kita memerlukan sedikit masa lagi kerana melibatkan laporan teknikal.
"Jika ada sebarang perkembangan lanjut, polis akan memaklumkannya kelak," ujarnya.




