
KUALA LUMPUR – Kertas siasatan kemalangan maut yang mengorbankan tiga beranak di Jalan Sultan Ismail awal pagi tadi akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), Putrajaya esok bagi tujuan sebarang pertuduhan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, kertas siasatan kes berkenaan telah dirujuk kepada Pejabat Pendakwaan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur petang tadi.
Menurutnya, perbincangan bersama pihak pendakwaan dibuat kira-kira pukul 2.45 petang selepas kertas siasatan diteliti.
“Pendakwa Raya Negeri mencadangkan supaya kertas siasatan dirujuk kepada Ketua Unit Bahagian Jenayah Am dan Ketenteraman Awam, Jabatan Peguam Negara, Putrajaya.
“Pendakwa Raya Negeri bersama pegawai penyiasat akan membawa sendiri kertas siasatan berkenaan ke Jabatan Peguam Negara pada pukul 8 pagi esok bagi tujuan sebarang pertuduhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Zamzuri berkata, permohonan reman terhadap pemandu lori Black Maria Jabatan Imigresen (JIM) dan pemandu Proton Saga turut dibuat hari ini dengan kedua-duanya dibenarkan direman selama sehari.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, tiga mangsa yang maut dikenal pasti sebagai pesara tentera, Shaik Mohd. Firdaus Shaikh Yahya, 53, bersama dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12.
Isteri Shaik Mohd. Firdaus, Norhayati Razali, 55, yang turut terlibat dalam kemalangan itu kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, sebuah lori Isuzu Black Maria milik JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terbabit dalam perlanggaran dengan Proton Saga sebelum terbabas dan merempuh empat pejalan kaki serta sebuah kereta lain di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail. – KOSMO! ONLINE
The post Kertas siasatan nahas tiga beranak dirempuh lori JIM dirujuk AGC esok appeared first on Kosmo Digital.






