Kerugian bersih BTM Resources melebar kepada RM1.56 juta pada 2QFY23

Business & Finance
7 Aug 2023 • 5:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kerugian bersih BTM Resources melebar kepada RM1.56 juta pada 2QFY23

diyana

07/08/2023 - 17:50

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Kerugian bersih BTM Resources Berhad melebar kepada RM1.56 juta pada suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23) daripada RM709,000 dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Bagaimanapun, pendapatan kumpulan melonjak 205.9% kepada RM4.07 juta berbanding RM1.33 juta sebelumnya, didorong oleh perdagangan balak yang lebih tinggi.

Secara kumulatif, prestasi kumpulan dalam separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23) menyaksikan kerugian bersih meningkat kepada RM16.3 juta, berbanding RM2.57 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Sementara itu, pendapatan BTM Resources meningkat 52% kepada RM5.3 juta daripada RM3.5 juta sebelumnya.

Mengulas tentang prospek tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23), syarikat yang terlibat dengan produk kayu itu berkata ia bergantung kepada pendapatan dan sumbangan daripada anak-anak syarikat yang bersandarkan kepada ketersediaan bahan mentah.

“Kumpulan sedang membuat pengaturan untuk mendapatkan bahan mentah di Kelantan, Terengganu dan Thailand, di mana bahan mentah itu kini tersedia.

“Bagaimanapun, keadaan ekonomi global pada 2023 dijangka kekal mencabar, yang akan menjejaskan permintaan terhadap produk kayu.

“Lembaga Pengarah menjangkakan tahun semasa akan mencabar tetapi berharap prestasi kewangannya akan bertambah baik,” katanya dalam keputusan 2QFY23 di Bursa Malaysia hari ini.

Saham BTM Resources ditutup kekal pada 8 sen, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM100.5 juta. - DagangNews.com