Kredit e-tunai RM100 kepada lebih 10 juta penerima dilaksanakan pada suku keempat tahun ini - MOF
zulfadli
01/08/2023 - 17:19
KUALA LUMPUR 1 Ogos - Pemberian kredit e-tunai RM100 kepada rakyat dewasa berusia 21 tahun ke atas meliputi golongan B40 dan M40, akan dilaksanakan pada suku keempat tahun ini.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan melalui Facebook rasmi memaklumkan, pihaknya sedang memperincikan inisiatif itu dengan pemegang taruh.
"Bantuan e-tunai ini akan memberi manfaat kepada lebih 10 juta penerima merangkumi golongan B40 dan M40," katanya.
Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Peluncuran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat, minggu lalu, mengumumkan kerajaan akan menawarkan kredit e-tunai RM100 kepada semua rakyat dewasa di negara ini yang berpendapatan tahunan RM100,000 ke bawah.
Perdana Menteri dipetik berkata, inisiatif membabitkan peruntukan sekitar RM1 bilion itu akan memanfaatkan lebih 10 juta rakyat berusia 21 tahun ke atas, merangkumi golongan B40 dan M40, lapor Berita Harian.

Anwar berkata, inisiatif e-tunai kepada golongan dewasa itu diumumkan selepas kerajaan melihat kejayaan dan impak besar program e-tunai kepada masyarakat. - DagangNews.com


