Kerugian bersih MyNews menguncup kepada RM6.28 juta pada 2QFY23 didorong sumbangan cawangan baharu
diyana
20/06/2023 - 09:29
KUALA LUMPUR 20 Jun - Kerugian bersih MyNews Holdings Bhd menguncup kepada RM6.28 juta bagi suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23) daripada RM10.2 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas, didorong oleh peningkatan sumbangan pendapatan daripada cawangan baharu.
Pendapatan kumpulan pada suku berakhir 30 April 2023 itu melonjak lebih 23% kepada RM174.2 juta berbanding RM141 juta tahun sebelumnya, menurut maklumannya kepada Bursa Malaysia semalam.
MyNews berkata pendapatan suku semasa meningkat terutamanya disebabkan oleh pertambahan 39 cawangan baharu dan peningkatan dalam keseluruhan jualan kedai memandangkan aktiviti perniagaan dan sosial dalam negara kembali normal pasca pandemik.
Bagaimanapun, seiring dengan peningkatan volum dan aktiviti perniagaan, kumpulan itu berkata perbelanjaan penjualan dan pengedaran meningkat 17.2% kepada RM35.5 juta daripada RM30.3 juta.
“Perbelanjaan lain juga meningkat 10.9% kepada RM19.6 juta daripada RM17.7 juta, terutamanya disebabkan oleh peningkatan susut nilai aset hak guna dan susut nilai hartanah, kilang dan peralatan sebanyak RM2.91 juta, yang sebahagiannya diimbangi oleh pengurangan hapus kira hartanah, kilang dan peralatan sebanyak RM1.01 juta,” katanya dalam makluman tersebut.
Sementara itu, kos kewangan meningkat 21.8% kepada RM2.8 juta daripada RM2.3 juta, terutamanya disebabkan oleh perbelanjaan faedah yang lebih tinggi ke atas liabiliti pajakan sebanyak RM1.73 juta daripada RM1.45 juta.
Bagi enam bulan pertama tahun kewangan 2023 (6MFY23), MyNews mengurangkan separuh kerugian bersihnya kepada RM9.49 juta daripada RM18.08 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya, manakala pendapatan meningkat 27.7% kepada RM358 juta daripada RM 280.5 juta.
Mengulas tentang prospek, MyNews berkata kadar pertumbuhan dalam bilangan kedai baharu akan diuruskan dengan teliti dalam persekitaran ekonomi semasa yang tidak menentu, di mana pada masa ini ia mengendali 615 cawangan terdiri daripada 463 kedai myNEWS, 133 CU Marts dan 19 cawangan WHSmith.
“Kami menjangkakan prestasi jualan bertambah baik dari suku ke suku, didorong oleh pertambahan rangkaian kedai dan usaha berterusan dalam meningkatkan jualan kedai melalui penambahbaikan campuran produk dan strategi runcit. Kami menjangkakan volum pengeluaran pusat pengeluaran makanan (FPC) berkembang seiring dengan peningkatan pendapatan runcit," katanya.
Pihak pengurusan menjangkakan keuntungan dalam jangka pendek akan kekal mencabar berikutan persekitaran ekonomi, peningkatan kos perniagaan yang disebabkan oleh inflasi dan perniagaan CU yang masih belum pulang modal.
Walaupun menghadapi cabaran, pihak pengurusan tetap yakin dan optimistik terhadap prospek jangka panjang kumpulan yang disokong oleh jenama runcitnya yang kukuh, dipacu oleh bakat dalaman yang tidak henti-henti dalam menambah baik dan menginovasi perniagaan dan disokong oleh infrastruktur dan teknologi penting yang telah dibina selama bertahun-tahun.
Pada waktu penulisan, saham MyNews didagangkan pada 47.5 sen, susut 1 sen atau 2.1% dengan modal pasaran berjumlah 324 juta. -DagangNews.com


