Untung bersih UWC menjunam 83.6% kepada RM4.7 juta pada 3QFY23 akibat trend menurun pasaran semikonduktor

Business & Finance
20 Jun 2023 • 5:54 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung bersih UWC menjunam 83.6% kepada RM4.7 juta pada 3QFY23 akibat trend menurun pasaran semikonduktor

diyana

20/06/2023 - 17:54

KUALA LUMPUR 20 Jun - Keuntungan bersih UWC Berhad menjunam 83.6% kepada RM4.7 juta dalam suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) daripada RM28.7 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya, seiring dengan kemerosotan pendapatan.

Pada suku berakhir 30 April 2023 itu, pendapatan kumpulan jatuh 45% kepada RM47.7 juta berbanding RM87.3 juta sebelumnya, disebabkan cabaran makroekonomi, terutamanya trend menurun kitaran pasaran semikonduktor, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Pendapatan sesaham (EPS) kumpulan menyusut daripada 2.61 sen kepada 0.43 sen.

Secara kumulatif, kumpulan itu mencatat keuntungan bersih RM53 juta pada sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23), merosot 45% berbanding RM76.8 juta bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Sementara itu, pendapatan kumpulan susut sedikit sebanyak 4.4% kepada RM231.8 juta daripada RM242.5 juta sebelumnya.

Mengulas mengenai prospek, UWC kekal optimistik terhadap kedua-dua perniagaan dan industri kumpulan untuk tahun-tahun akan datang, serta terus mengkaji portfolio pelaburannya dan menyusun strategi rancangan pertumbuhan jangka panjang bagi memanfaatkan peluang perniagaan yang berpotensi.

Menurut kumpulan itu, ia telah memperoleh anak syarikat milik penuh, UWC Technology Sdn. Bhd. pada suku tersebut untuk beralih ke perniagaan pembuatan semikonduktor hadapan dan aktiviti lain yang bernilai lebih tinggi.

“UWC juga telah memulakan pembinaan tapak baharu di Batu Kawan dengan kemudahan bilik bersih untuk memenuhi perniagaan pembuatan semikonduktor bahagian hadapannya serta projek kenderaan elektrik (EV).

“Selain itu, kumpulan juga telah melabur untuk membina tapak fabrikasi baharu di Taiping dan merancang untuk kemudahan gudang lain di Batu Kawan untuk mengembangkan kapasiti pengeluarannya,” katanya.

UWC berkata ia telah menceburi perniagaan untuk peralatan rangkaian 5G, penguji cip berkaitan kenderaan autonomi serta projek emulator sel bateri EV, di mana mereka aktif bekerjasama dengan bakal pelanggan untuk pemindahan projek pada tahun-tahun akan datang memandangkan ia mempunyai lebih banyak projek berkaitan pembuatan semikonduktor bahagian hadapan dalam perancangan dan kekal optimistik mampu mendapat tempahan daripada pelanggan baharu ini.

“Penglibatan kumpulan dalam industri pembuatan instrumen perubatan diandaikan mendapat manfaat dalam jangka masa panjang dengan kejayaan teknologi mRNA yang bukan sahaja mengubati penyakit Coronavirus tetapi juga membuka kemungkinan berterusan dalam membangunkan vaksin untuk kanser dan rawatan terapeutik,” tambahnya.

Menurut kumpulan itu, mesin pengekstrakan virus, penganalisis DNA dan instrumen elektroporasi sel dalam perancangan produknya terus dikekalkan sebagai sebahagian daripada hala tuju perniagaan masa hadapan. -DagangNews.com