Kerugian RM2.6 Juta Akibat Filem Bas Terakhir Malam Raya Dicetak Rompak - Floor 88 Tidak Menolak Kemungkinan Penglibatan Orang Dalam 

11 May 2023 • 10:11 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Eric Fuzi (tiga dari kiri) bersama semua anggota Floor 88 telah pun membuat laporan polis terhadap pemilik saluran YouTube, Jari Hantu semalam. - Gambar oleh Rubini Nagarajah

Petang semalam, Floor 88 telah membuat laporan polis atas tindakan tidak bertanggungjawab pemilik saluran YouTube, Jari Hantu memuat naik karya filem, Bas Terakhir Malam Raya secara haram sedangkan filem itu masih ditayangkan di Astro First.

“Kami tidak sedih, tetapi marah kerana cetak rompak ini masih lagi wujud sejak  dari zaman kanak-kanak saya lagi,” kata salah seorang anggota Floor 88 iaitu Eric Fuzi kepada pihak media sewaktu ditemui di Balai Polis Travers, Bangsar petang semalam. 

Petang semalam, Eric Fuzi bersama semua anggota Floor 88 telah pun membuat laporan polis terhadap pemilik saluran YouTube, Jari Hantu  atas tindakan tidak bertanggungjawab memuat naik karya filem,  ‘Bas Terakhir Malam Raya’ secara haram sedangkan filem itu masih ditayangkan di Astro First.

image is not available
Eric berkata Laporan polis dibuat berikutan kebocoran filem ini di platform media sosial seperti Telegram, TikTok dan YouTube. - Gambar oleh Rubini Nagarajah

Eric yang merupakan pengarah bersama filem dengan Irwan Rauf berkata, tindakan tidak bertanggungjawab memuat naik karya filem tersebut, telah menyebabkan syarikat mereka Floor 88 Holdings selaku penerbit mengalami kerugian hampir RM2.6 juta ekoran filem itu boleh ditonton secara percuma di YouTube.

Menurut Eric lagi, setakat ini sebanyak 168,000 tontonan berjaya diraih di platform berkenaan sedangkan filem itu masih lagi ditayangkan secara eksklusif di saluran berbayar Astro First.

”Laporan polis dibuat berikutan kebocoran filem ini di platform media sosial seperti Telegram, TikTok dan YouTube.

“Isu ini bermula apabila pautan filem ini tersebar di aplikasi Telegram dan TikTok. Bila dapat tahu tentang perkara ini, kami terus buat laporan polis dan pautan itu diturunkan.

“Bagaimanapun, saluran yang satu ini mengambil masa agak lama untuk diturunkan iaitu enam hari. Kami mendapati sepanjang tempoh itu, filem yang ditayangkan secara percuma itu mendapat jumlah tontonan sebanyak 168,000.

“Jumlah tontonan jika kita didarab dengan jumlah langganan untuk menyaksikan filem iaitu RM15.90, nilainya adalah RM2.6 juta.  Disebabkan sikap tidak bertanggungjawab pemilik akaun, kami mengalami kerugian besar,” kata Eric pada sidang media selepas membuat laporan polis di Balai Polis Travers, petang semalam.

Turut hadir pengarah bersama iaitu Irwaan Rauf dan wakil daripada Motio Studio serta Silentkaiju Studio yang turut menjadi penerbit bersama filem, Bas Terakhir Malam Raya

image is not available
Eric berharap pihak berkuasa dapat segera menjejaki dan menangkap mereka yang tidak bertanggungjawab itu. - Gambar oleh Rubini Nagarajah

Mengakui filem Bas Terakhir Malam Raya adalah karya pertama Floor 88 Holdings bersama dua produksi Silentkaiju Studio dan Motio Studio, Eric menjelaskan, dia tidak menolak sebarang kemungkinan penglibatan ‘orang dalam’ pihak produksi telah bertindak memuat naik filem itu secara haram di saluran YouTube berkenaan.

“Kami tidak menolak kemungkinan perbuatan cetak rompak dan memuat naik filem ini dilakukan oleh orang dalam (kumpulan produksi).

“Ini kerana bahan tayangan secara haram di saluran YouTube itu tidak mempunyai logo Astro First. Jika dia mahu ambil daripada siaran Astro First, ia tidak boleh dilakukan. Oleh sebab itu, kami tidak menolak perbuatan terkutuk ini ada melibatkan orang dalam,” ujarnya.

Sementara itu, Eric berkata, pihaknya amat berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan dengan teliti, seterusnya berjaya menangkap pihak tidak bertanggungjawab terbabit dan membawanya ke muka pengadilan. 

Filem Bas Terakhir Malam Raya yang disiarkan di platform OTT itu sempena Aidilfitri, baru-baru ini dibintangi semua anggota Floor 88 beserta pelakon lain seperti Syasya Rizal, Joey Daud, Hawa Rizwana, Ropie, Amir Masdi dan penampilan istimewa, Datuk Syafinaz Selamat. – Getaran, 11 Mei 2023