liza23/11/2026 - 18:16 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Nov – Tan Chong Motor Holdings Berhad mengurangkan kerugian selepas cukai sebanyak 53.4% kepada RM57.13 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026 (9MFY2026), berbanding RM122.58 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya, susulan langkah pengoptimuman kos dan pengurangan perbelanjaan operasi serta pembiayaan.
Bagaimanapun, hasil kumpulan pengeluar dan pengedar kenderaan itu merosot 14.5% kepada RM1.39 bilion daripada RM1.62 bilion sebelumnya, mencerminkan cabaran jualan dalam perniagaan automotifnya.
Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (3QFY2026), kerugian selepas cukai turut menyusut kepada RM18.57 juta berbanding RM63.61 juta pada suku sama tahun lalu, manakala hasil turun 13.8% kepada RM457.30 juta daripada RM530.47 juta.
Kerugian sebelum cukai bagi sembilan bulan berkenaan turut berkurangan 58.7% kepada RM47.85 juta berbanding RM115.83 juta sebelumnya, mencerminkan penurunan kerugian sebanyak RM68 juta.
Pengoptimuman kos bantu kurangkan kerugian
Dalam laporan kewangan suku ketiga yang difailkan kepada Bursa Malaysia, Tan Chong berkata peningkatan prestasi kewangan kumpulan disumbangkan oleh langkah pengoptimuman kos yang mengurangkan perbelanjaan operasi dan kos pembiayaan.
Pergerakan kadar pertukaran mata wang asing yang lebih menguntungkan turut membantu prestasi kumpulan apabila Tan Chong merekodkan keuntungan bersih pertukaran asing RM7 juta bagi tempoh sembilan bulan berkenaan, berbanding kerugian bersih RM30.1 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Pada masa sama, kerugian operasi kumpulan mengecil kepada RM17.31 juta berbanding RM71.95 juta sebelumnya, manakala margin keuntungan kasar meningkat kepada 26.1% daripada 20.9%, disokong campuran jualan kenderaan yang lebih menguntungkan dan pengurusan kos operasi lebih baik.
Segmen automotif catat EBITDA RM56.7 juta
Segmen pemasangan, pembuatan, pengedaran dan perkhidmatan selepas jualan kenderaan mencatat hasil RM1.34 bilion bagi 9MFY2026, merosot 14.3% berbanding RM1.56 bilion sebelumnya.
Bagaimanapun, segmen itu merekodkan keuntungan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak RM56.67 juta, meningkat 35.5% berbanding RM41.83 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Bagi suku ketiga sahaja, hasil segmen automotif turun 13.5% kepada RM442.30 juta, namun EBITDA bertukar positif kepada RM31.20 juta berbanding kerugian EBITDA RM14.98 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
Tan Chong berkata peningkatan itu disokong campuran jualan kenderaan lebih baik, pengurangan perbelanjaan operasi serta pergerakan mata wang asing yang menguntungkan.
Sementara itu, segmen perkhidmatan kewangan yang merangkumi pembiayaan sewa beli dan insurans mencatat hasil RM37.88 juta, turun 21.6% daripada RM48.34 juta. Namun, kerugian EBITDA segmen itu mengecil kepada RM1.90 juta berbanding RM4.57 juta sebelumnya, disokong pengurangan kerugian kemerosotan nilai penghutang sewa beli dan pengurusan kos berterusan.
Peluasan portfolio EV, kerjasama dengan Perodua
Bagi memperluas penyertaan dalam sektor kenderaan elektrik dan rantaian bekalannya, Tan Chong memeterai perjanjian induk dengan Perodua Sales Sdn Bhd pada 12 September 2026 bagi menyediakan perkhidmatan salutan elektro-pemendapan (ED), pengecatan dan pemasangan berkaitan untuk projek kenderaan elektrik bateri (BEV) Perodua di Serendah.
Kumpulan itu turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Saike REPT Power Battery System Co. Ltd pada 17 September 2026 bagi meneroka peluang pemasangan pek bateri EV dan komponen berkaitan di Malaysia, termasuk untuk kenderaan TQ Wuling.
Dalam perkembangan produk, Tan Chong melancarkan TQ Wuling Porta EV pada Oktober 2026, sekali gus memperluas jenama TQ Wuling ke segmen kenderaan komersial elektrik. Model itu ditawarkan dalam varian jarak perjalanan 300 kilometer dan 400 kilometer berdasarkan penarafan CLTC.
Kumpulan menjangkakan model berkenaan dapat membuka peluang untuk memenuhi permintaan pengendali logistik, pemilik armada dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mencari alternatif pengangkutan komersial lebih praktikal serta menjimatkan kos.
Bagi jenama Nissan pula, model All-New Nissan Serena e-POWER dijangka menyokong momentum jualan, selain pelancaran akan datang Nissan X-Trail e-POWER x e-4ORCE bagi memperluas penawaran kenderaan utiliti sukan (SUV) elektriknya.
Tan Chong berkata kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada peningkatan sumbangan model baharu, peluasan kehadiran dalam segmen EV serta kecekapan operasi bagi menyokong prestasi kewangan lebih mampan sepanjang baki 2026.- DagangNews.com

