liza02/11/2026 - 12:07 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 2 Nov – Sektor perladangan dijangka mendapat manfaat daripada kenaikan harga purata minyak sawit mentah (CPO) kepada RM4,552 satu tan pada suku ketiga 2026 (3Q26) namun kesannya terhadap keuntungan syarikat mungkin terhad disebabkan oleh pengeluaran lebih rendah dan kos pengeluaran yang masih tinggi.
MBSB Research berkata harga purata minyak sawit mentah sepanjang suku berkenaan meningkat 0.7% berbanding suku sebelumnya dan 6.6% berbanding tempoh sama tahun lalu, sekali gus membantu mengimbangi kesan penurunan pengeluaran bagi beberapa syarikat perladangan di bawah liputannya.
Firma penyelidikan itu berpandangan prestasi keuntungan syarikat dalam sektor berkenaan secara keseluruhan sebahagian besarnya menepati jangkaan, meskipun Sarawak Plantation Bhd, Johor Plantations Group Bhd dan TSH Resources Bhd mencatatkan pengeluaran buah tandan segar serta CPO yang lebih rendah tahun ke tahun.
“Secara keseluruhan, pengeluaran minyak sawit mentah industri masih berada pada tahap yang memuaskan,” kata MBSB Research dalam nota kajiannya.
Pengeluaran industri meningkat 4%
Menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), pengeluaran CPO meningkat kepada 5.7 juta tan pada suku ketiga 2026, naik 19.7% berbanding suku sebelumnya dan 4% tahun ke tahun, sejajar dengan peningkatan penerimaan BTS.
Pengeluaran BTS industri turut meningkat kepada 29.1 juta tan, berkembang 20.6% berbanding suku sebelumnya dan 2.6% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Bagaimanapun, dalam kalangan syarikat di bawah liputannya, Johor Plantations mencatatkan penurunan pengeluaran sebanyak 10.8% tahun ke tahun, manakala pengeluaran terkumpul sejak awal tahun susut 3.7%.
MBSB Research berkata keadaan itu sebahagiannya mencerminkan profil umur pokok sawit matang yang tidak seimbang susulan kadar penanaman semula yang tinggi dan berterusan sehingga suku berkenaan.
Secara keseluruhan, pengeluaran syarikat dalam liputan MBSB Research meningkat sekitar 9.9% tahun ke tahun, kemungkinan disokong pengeluaran lebih tinggi di Indonesia dalam kalangan pemain perladangan bersepadu.
Perkembangan itu membawa pertumbuhan pengeluaran BTS bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026 kepada 4.1% sejak awal tahun, selepas prestasi lemah pada suku pertama 2026.
Kos pengeluaran kekal RM2,600 setan
Bagaimanapun, keuntungan daripada aktiviti huluan dijangka terus tertekan kerana harga baja masih lebih tinggi berbanding suku ketiga 2025.
MBSB Research menjangkakan kos pengeluaran industri kekal tinggi sekitar RM2,500 hingga RM2,600 bagi setiap tan, didorong harga baja yang masih meningkat, melainkan syarikat perladangan mengambil langkah menangguhkan penggunaan baja.
Bagi pemain industri hiliran pula, kos pengangkutan dan insurans yang tinggi susulan ketegangan di Selat Hormuz terus memberi tekanan kepada operasi syarikat. Bagaimanapun, margin keuntungan segmen berkenaan dijangka kekal stabil, disokong kenaikan harga isirung sawit (palm kernel).
Kekalkan unjuran harga minyak sawit mentah RM4,400
Dalam perkembangan berkaitan, MBSB Research mengekalkan pendirian neutral terhadap sektor perladangan serta andaian harga CPO bagi 2026 pada RM4,400 satu tan.
Dalam kalangan syarikat yang diliputinya, firma penyelidikan itu memilih SD Guthrie Bhd sebagai pilihan utama dengan saranan 'beli' dan harga sasaran RM7.65 sesaham.
Ia berkata jangkaan pertumbuhan pengeluaran Malaysia sekitar 5% disokong hasil BTS yang tinggi sebanyak 19.63 tan sehektar serta kadar perahan minyak (OER) sebanyak 21.3%.
Selain itu, aktiviti pembangunan dan penjualan tanah dijangka menjana pendapatan berulang antara RM500 juta hingga RM700 juta setahun kepada kumpulan berkenaan. - DagangNews.com






