Kerusi DUN Puteri Wangsa bukan milik mana-mana parti - AMK Johor

LocalPolitics
5 Mar 2026 • 3:11 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Faezuddin berkata, pembahagian kerusi akan ditentukan secara rasional dengan mengambil kira kekuatan jentera, gerak kerja di lapangan dan kebolehan parti memenangi hati pengundi.

JOHOR BAHRU - Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa tidak sewajrnya dilihat sebagai milik kekal mana-mana parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad berkata, perkara itu sepatutnya tidak dibangkitkan kerana pembahagian kerusi akan ditentukan secara rasional dengan mengambil kira kekuatan jentera, gerak kerja di lapangan dan kebolehan parti memenangi hati pengundi.

"Kita harus berhenti bernostalgia dan tumpu kepada realiti sebenar di lapangan. Dalam masa sama, kita perlu mengakui bahawa pengundi hari ini semakin bijak menilai.

"Mereka tahu membezakan antara pihak yang benar-benar konsisten berkhidmat dengan pihak yang hanya muncul apabila pilihan raya semakin hampir," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sekiranya perkara itu tidak diurus dengan cermat, dikhuatiri boleh mencetuskan penolakan terhadap calon atau parti yang dilihat sebagai ‘payung terjun’ dan tidak berakar di kawasan.

Sebelum ini, Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dr Zuhan Zain dilaporkan berkata, pihaknya akan mengambil semula kerusi DUN Puteri Wangsa yang sebelum ini dipinjamkan kepada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, calon Muda, Amira Aisya Abd Aziz yang ketika itu Setiausaha parti berkenaan memenangi kerusi DUN Puteri Wangsa dengan majoriti 7,114 undi dalam pertandingan enam penjuru.

Beliau menewaskan Ng Yew Aik daripada Barisan Nasional (BN), Dr Khairil Anwar Razali (Parti Pejuang Tanah Air), Loh Kah Yong (Perikatan Nasional), Steven Choong Shiau Yoon (Parti Bangsa Malaysia) dan Adzrin Adam (Bebas).

Muda ketika itu menang kerusi tersebut atas sokongan Pakatan Harapan (PH) meskipun tidak menyertai gabungan politik berkenaan namun bersetuju mengadakan pakatan pilihan raya (electoral pact) bagi menghadapi PRN Johor.

Muda kemudian menyertai Kerajaan Perpaduan sebelum mengumumkan keluar daripada kerajaan pimpinan PH pada 2023 sebagai tanda protes terhadap tindakan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan rasuah.