Kes 1MDB: Najib tiba di mahkamah, penyokong menaruh harapan tinggi beliau dibebaskan

LocalPolitics
26 Dec 2025 • 9:06 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekali lagi berkumpul di perkarangan Istana Kehakiman bagi mendengar keputusan kes penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini.

Selepas tujuh tahun, penyokong bekas Presiden Umno itu menzahirkan harapan tinggi agar beliau dibebaskan.

Penyokong beliau berkumpul seawal 6.45 pagi di perkarangan mahkamah, untuk menyatakan solidariti dan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Najib.

Dalam pada itu, media melaporkan Najib tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Putrajaya, kira-kira 8.25 pagi dengan menaiki kenderaan jenis Proton X70 berwarna kelabu.

Anak sulungnya, Datuk Mohamad Nizar, turut kelihatan di mahkamah.

View this post on Instagram

A post shared by Scoopdotmy (@scoopdotmy)


Najib, 72, kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang berhubung kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Selepas perbicaraan selama 302 hari yang berlangsung dalam tempoh tujuh tahun, Mahkamah Tinggi menetapkan hari ini untuk menyampaikan keputusan terhadap Najib berhubung kes penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion.

Perbicaraan berprofil tinggi itu menarik perhatian antarabangsa dan melibatkan 50 saksi serta sembilan hari hujahan lisan.

Najib, didakwa buat kali pertama pada 20 September 2018 dan perbicaraan bermula hampir setahun kemudian pada 28 Ogos 2019, dengan pihak pendakwaan menutup kes mereka pada 30 Mei 2024.

Pada 30 Oktober 2024, mahkamah memerintahkan Najib membela diri atas semua pertuduhan, dan prosiding pembelaan berlangsung dari 2 Disember 2024 hingga 6 Mei 2025, melibatkan 58 hari perbicaraan dengan keterangan daripada 26 saksi.

Antara saksi utama pembelaan ialah bekas Pengerusi 1MDB Tan Sri Che Lodin Wok Kamarudin, adinda Sultan Mizan Zainal Abidin, Tengku Datuk Rahimah Sultan Mahmud, serta bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Najib berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB di cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Keputusan pada Boxing Day ini dijangka menarik perhatian besar di peringkat nasional dan antarabangsa, menandakan satu pencapaian penting dalam usaha Malaysia untuk mengadili salah satu kes rasuah berprofil tertinggi negara.— 26 Disember, 2025

The post Kes 1MDB: Najib tiba di mahkamah, penyokong menaruh harapan tinggi beliau dibebaskan appeared first on Scoop.