
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Semalam (6 September), media melaporkan enam orang pendaki termasuk empat sekeluarga dikhuatiri hilang ketika melakukan pendakian di Gunung Trans Gerah, Hutan Simpan Kekal Lojing, Gua Musang, Kelantan selepas kesemua mereka gagal keluar mengikut jadual di Pos Kemar, Gerik, Perak pada 3 September lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo, seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun dan remaja perempuan antara individu yang dikhuatiri hilang selepas kedua-duanya mendaki bersama ibu bapa mereka serta dua malim gunung.
2 Malim Gunung Iringi Pendakian 4 Beranak Ada Pengalaman Lebih 20 Tahun, Dianggap Senior
Terbaharu, dua malim gunung, Shafiee Sidek dan Hazman Mamat yang mengiringi pendakian empat sekeluarga itu dikhabarkan mempunyai pengalaman selama lebih 20 tahun.
Malah, Shafiie yang berusia 49 tahun dan Hazman 43 tahun juga dianggap senior dalam kalangan kumpulan malim gunung yang lain.
Jelas salah seorang malim gunung yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR), dia tidak menolak kemungkinan ada ahli kumpulan yang cedera menyebabkan kesemua mereka lewat tiba di lokasi yang ditetapkan.
“Saya mengenali dua pendaki ini sebagai senior dan sangat berpengalaman, mungkin ada yang cedera atau mungkin juga sesat.
“Saya difahamkan kumpulan ini masuk melalui Kampung Dakoh, Pos Balar menuju ke Gunung Gerah, Gunung Bilah di Gua Musang, seterusnya ke Gunung Bieh, Gunung Ulu Sepat dan Gunung Belatoh.
“Menurut maklumat yang diterima pendakian mereka bermula pada 29 Ogos dan sepatutnya berakhir Khamis (3 September) lalu iaitu pendakian lima gunung dalam tempoh enam hari,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.
Tambahnya, dia bersama lima lagi malim gunung yang lain serta anggota bomba akan ke Kampung Dakoh untuk memulakan operasi sekiranya diperlukan.
Malim Gunung Sifatkan Laluan Pendakian 6 Beranak Ekstrem, Tak Sesuai Untuk Kanak-Kanak
Dalam pada itu, Malim Gunung Perhutanan (MGP), Mohd. Osman Hassan menyifatkan laluan pendakian yang dipilih oleh enam individu terbabit sebagai ekstrem dan tidak sesuai untuk kanak-kanak.
Ini kerana jelas Osman, selain mempunyai suhu yang sejuk, keadaan laluan tersebut agak mencanak sekaligus memerlukan tahap ketahanan fizikal yang tinggi.
Tambahnya, laluan dari Gunung Bieh ke Pos Kemar juga jarang digunakan oleh pendaki dan tidak begitu dikenali berbanding trek yang lain.
“Laluan itu sebenarnya tidak sesuai untuk kanak-kanak kerana agak ekstrem. Lagipun, laluan itu jarang orang lalu dan tidak begitu popular, jadi keadaannya agak semak.
“Jadi, untuk mereka turun menggunakan laluan tersebut, ia perlu dirintis semula,” katanya yang dipetik dari Kosmo.
Jelas Osman, dia juga percaya kemungkinan kumpulan tersebut sesat agak rendah memandangkan dua malim gunung yang mengiringi mempunyai pengalaman dalam navigasi hutan.
“Mereka berpengalaman menggunakan peta topografi dan kompas serta mempunyai kemahiran navigasi hutan.
“Jadi, saya tidak fikir mereka sesat. Mereka mungkin mengalami kecederaan atau masalah kesihatan termasuk kekejangan otot,” katanya.
Keluarga Terima Mesej Terakhir Pada 1 September Lalu
Dalam pada itu, ahli keluarga mangsa mendakwa ada menerima mesej pada jam 7.47 pagi 1 September lalu memaklumkan bahawa mereka berada dalam keadaan baik sebelum kesemuanya gagal dihubungi.
“Keadaan kami baik dan cuaca sepanjang tiga hari ini tidak hujan,” tulis mereka.
Ahli keluarga kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Bukit Jelutong, Shah Alam, pada jam 8.57 pagi Ahad (6 September) selepas keenam-enam mereka gagal dihubungi.
Jelas Sik, selepas mesej terakhir itu diterima, ahli keluarga tidak lagi menerima sebarang komunikasi dari kumpulan terbabit.
“Komunikasi terakhir diterima ahli keluarga daripada kumpulan berkenaan pada jam 7.47 pagi, 1 September lalu menerusi mesej yang memaklumkan keadaan mereka baik serta cuaca sepanjang tiga hari ketika itu tidak hujan.
“Bagaimanapun, selepas mesej tersebut, tiada lagi komunikasi diterima sehingga laporan polis dibuat,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.
Selain Shafiie dan Hazman, empat sekeluarga berasal dari Yong Peng, Johor itu dikenal pasti sebagai:
- Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin (39 tahun)
- Siti Zulaiha Norizan, (39 tahun)
- Diya Raisha (13 tahun)
- Ahmad Raef (9 tahun)
Ada Malim Gunung Turut Temui Kumpulan Pendaki
Jelas Sik, hasil siasatan awal mendapati kumpulan tersebut memulakan pendakian pada 29 Ogos lalu dari Pos Dakoh dan dijangka keluar pada 3 September melalui Pos Kemar, Perak.
Malah, pada 30 Ogos, seorang malim gunung dari Kelantan turut bertemu dengan kumpulan terbabit di Kem Lata Air sebelum meneruskan perjalanan.
“Pada 31 Ogos, ahli keluarga turut menerima mesej memaklumkan kumpulan berkenaan berada dalam keadaan baik, namun perjalanan mereka sedikit lewat.
“Mereka turut memaklumkan sekiranya tidak sempat keluar pada Khamis (3 September), mereka mungkin perlu mencari bas lain dan dijangka sampai pada Jumaat (4 September),” katanya.
Operasi SAR Digerakkan Menerusi Darat, Air & Udara – Bomba Perak
Pada masa sama, operasi SAR enam individu terbabit akan digerakkan dari darat, air dan udara sekitar Pos Kemar pada hari ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon.
Jelasnya, sebanyak tiga bot bomba bersiap sedia di Jeti Temenggor bagi membawa lapan anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) serta lima anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat di Gunung (MOSAR) ke pos berkenaan.
“Seramai 12 Malim Gunung Perhutanan (MGP) turut digerakkan dari Sungai Siput ke Pos Kemar melalui jalan darat menggunakan kenderaan pacuan empat roda pagi tadi.
“Perjalanan pasukan MGP dijangka mengambil masa kira-kira empat jam untuk tiba di Pos Kemar.
“Kesemua anggota penyelamat dan MGP akan berkumpul di Pos Kemar sebelum SAR digerakkan bagi mengesan mangsa yang hilang,” katanya yang dipetik dari Kosmo.
Pencarian melalui udara pula dijadualkan berlangsung pada jam 2 petang ini selepas Unit Udara JBPM digerakkan dari Bertam, Pulau Pinang untuk melakukan tinjauan.
Tinjauan itu akan bermula di lokasi terakhir mangsa dikesan pada 1 September lalu sehingga ke Pos Kemar.
Baca Artikel Berkaitan: Sesat Dalam Hutan Tapi Air Tak Cukup? Hiker Kongsi Pokok Yang Boleh Bekalkan Air Waktu Kecemasan [Video]
Baca Artikel Berkaitan: “Mana Sweeper?” – Pendaki Maut Di Gunung Liang, Ramai Persoal Kenapa Mangsa Ditinggalkan Sendirian





