Kes Akaun Palsu Buat Pesanan Main-Main Tular, Peniaga Dakwa Rugi Hampir RM1,000

9 Jan 2026 • 7:14 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang individu menggunakan akaun palsu untuk membuat pesanan dan mengganggu peniaga akhirnya memakan diri apabila perbuatannya berjaya dikesan dan didedahkan kepada umum.

Menerusi satu perkongsian yang sedang tular di media sosial, pempengaruh dengan akaun @iddinsyah mendedahkan dia berdepan dengan individu menggunakan akaun palsu yang dipercayai membuat pesanan secara main-main sehingga menyebabkan kerugian hampir RM1,000.

Dalam hantaran tersebut, dia menulis bahawa individu berkenaan membuat pembelian namun bertindak tidak bertanggungjawab sehingga barangan rosak teruk, selain meninggalkan komen-komen melampau, berunsur ugutan dan kata-kata tidak bermoral terhadap pempengaruh lain.

“Jangan ingat kami tak boleh trace fake akaun!!!” tulisnya lagi, menzahirkan rasa kecewa terhadap tindakan tersebut.

Perkongsian itu mencetuskan pelbagai reaksi netizen, termasuk di Threads apabila seorang pengguna menulis secara berseloroh selepas menonton siaran langsung berkaitan kes berkenaan.

“Tengok live abg kapurung pasal kes fake account biskut kering. Sekali dia flip camera, nohhhh betul-betul kering. Macam tak cukup sekupang,” tulisnya.

Isu Reda Selepas Permohonan Maaf, Perhatian Netizen Terus Tertumpu

Isu berkenaan kemudiannya dilihat mula reda apabila TikTok @atok.x.problem memaklumkan kes tersebut telah diselesaikan, selain memuat naik video permohonan maaf dalam dua bahagian yang melibatkan beberapa pihak berkaitan termasuk @Biskutkering, @Abangkapurung, @BAMMAL ESW dan MR MARIO.

Dalam perkembangan sama, akaun @bammal_esw memaklumkan kes berkenaan sebagai kes yang berat, selain memberi isyarat bahawa perkara itu tidak dipandang ringan.

“Replying to @REMY FAKE ORDER kes berat ye!! Ingat, setiap tindakan pasti ada akibatnya. Tungguuu,” tulisnya dalam satu hantaran di TikTok.

Sementara itu, pemilik akaun Biskut Kering dengan nama pengguna @syafiqketuu tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua pihak yang terkesan akibat tindakannya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen menyuarakan pandangan berbeza. Ada yang terkejut bagaimana akaun palsu boleh dikesan, selain ada yang menggesa supaya ganti rugi dibayar kepada penjual yang terkesan.

“Jarang tengok owner fake akaun kena tangkap, macam mana boleh trace?” soal seorang netizen.

Seorang lagi menjawab secara berseloroh, “Pakar IT, pakar ekonomi,” tulisnya.

Tidak kurang juga yang berpandangan permohonan maaf sahaja tidak mencukupi dan individu terbabit wajar membayar kos kerugian termasuk caj penghantaran yang mencecah ratusan ringgit.

Ada netizen turut mendakwa bayaran ganti rugi berjumlah lebih RM800 akan dibuat, selain mendoakan agar individu berkenaan mengambil iktibar dan berubah menjadi insan yang lebih baik.

Kes ini sekali gus menjadi peringatan kepada orang ramai bahawa penggunaan akaun palsu dan tindakan tidak bertanggungjawab di media sosial boleh memberi kesan besar kepada peniaga kecil serta mencetuskan kemarahan masyarakat. – The Malaysian Update

The post Kes Akaun Palsu Buat Pesanan Main-Main Tular, Peniaga Dakwa Rugi Hampir RM1,000 appeared first on The Malaysian Update.