Kes Amirul Hafiz maut dirempuh hingga melambung, pemandu Myvi tukar pengakuan kes dadah

LocalPolitics
3 Jun 2026 • 1:28 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kes Amirul Hafiz maut dirempuh hingga melambung, pemandu Myvi tukar pengakuan kes dadah
Saktygaanapathy menukar pengakuan kepada tidak bersalah bagi kes dadah, di Mahkamah Majistret Klang pada Rabu.
Image from: Kes Amirul Hafiz maut dirempuh hingga melambung, pemandu Myvi tukar pengakuan kes dadah
R Saktygaanapathy, 28, (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Klang pada Rabu.
Image from: Kes Amirul Hafiz maut dirempuh hingga melambung, pemandu Myvi tukar pengakuan kes dadah
Insiden terbaru membabitkan Amirul Hafiz Omar maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta dipandu lelaki dalam keadaan mabuk serta bawah pengaruh dadah di Jalan Raya Barat, Klang.

KLANG - Seorang lelaki yang tular terlibat kemalangan sehingga menyebabkan seorang penunggang motosikal maut selepas melambung atas sebuah kereta menukar pengakuan kepada tidak bersalah bagi satu pertuduhan kes dadah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.

R Saktygaanapathy, 28, yang memakai baju-T berkolar putih membuat pengakuan itu di hadapan Majistret, Nor Azilah Mat.

Peguam, Aravind Raj berkata, semasa anak guam dihadapkan ke mahkamah dua bulan lalu, Saktygaanapathy tidak diwakili peguam.

"Jadi saya tidak pasti sama ada dia faham atau tidak pertuduhan yang dihadapinya ketika itu.

"Selepas saya jelaskan kes yang dihadapinya, kesan dan akibat pengakuan awal, barulah dia kata tidak mahu mengaku bersalah," katanya ketika ditemui di luar mahkamah.

Beliau berkata, keluarga tertuduh baru sahaja melantiknya untuk mewakili lelaki itu yang bekerja sebagai pembantu makmal.

Menurutnya, Saktygaanapathy masih dalam proses untuk menyesuaikan diri di Penjara Sungai Buloh, malah dia mengakui tempoh reman berkenaan agak sukar untuk dihadapi.

Peguam juga berkata, pendakwaan memaklumkan laporan kimia berhubung kes itu belum diperoleh, maka mahkamah menetapkan 22 Julai depan untuk sebutan kes.

Pada 1 April lalu, dia mengaku bersalah atas satu pertuduhan pindaan memberikan dirinya dadah disyaki jenis 11-Nor-Delta-9-Tetrahydrocannabinol-9-Carboxylic Acid ke dalam badan di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di sini, jam 3.30 petang pada 29 Mac lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Sulfie Abu Hassan.

Sementara itu bagi kes bunuh yang dihadapi tertuduh, di hadapan Majistret, A Karthiyayini, Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz berkata, laporan bedah siasat belum diterima.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh sama untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, peguam, Mohd Faizi Che Abu yang mewakili isteri mangsa, Nor Nadia Abdul Majid, 32, hadir selaku peguam pemerhati.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Amirul Hafiz Omar, 33, di Jalan Raya Barat, di sini pada jam 11.47 pagi tarikh sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dijatuhi hukuman gantung, hendaklah disebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Hujung Mac lalu, kemalangan berkenaan tular di media sosial, memaparkan Amirul Hafiz melambung selepas dirempuh kereta dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan.

**media[3539117]**

Akibat pelanggaran itu, lelaki tempatan itu tercampak ke atas sebuah Perodua Myvi sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.