Kes Anak Rafizi Ramli Diserang & Dicucuk Jarum Suntikan, Ini Apa Yang Kita Tahu

LocalPolitics
14 Aug 2025 • 10:38 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Setiap di antara kita sering kali diingatkan untuk berhati-hati tidak kiralah ketika berada di tempat awam mahupun kawasan rumah sendiri memandangkan terdapat banyak kes jenayah yang berlaku.

Perkara ini secara tidak langsung membuatkan setiap individu adakalanya bimbang mengenai keselamatan diri termasuklah keluarga.

Rafizi Ramli dakwa anak diserang di pusat beli-belah Putrajaya

Terbaharu bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa anaknya telah diserang sewaktu berada di sebuah pusat membeli-belah di Putrajaya secara tiba-tiba.

“Sekitar jam 1.45 petang ini , semasa anak dan isteri saya memasuki kereta untuk meninggalkan pusat membeli-belah di Putrajaya, secara tiba-tiba seorang lelaki mengheret anak saya dan mencucuknya dengan jarum suntikan.

“Semakan menunjukkan dua orang lelaki yang menaiki sebuah motosikal telah mengekori kereta isteri saya. Pada hemat saya, mereka telah merancang serangan itu lebih awal.

“Serangan itu melibatkan dua orang lelaki berpakaian hitam sepenuhnya dan bertopi keledar yang menutup muka keseluruhannya. Mereka telah menunggu lebih awal dan bergegas menyerang anak saya pada ketika (waktu) yang sesuai,” jelas bekas Timbalan Presiden PKR itu.

Anak dibawa ke Hospital UPM untuk rawatan, kenyataan turut diberikan kepada polis

Susulan daripada insiden itu, anak Rafizi kemudiannya dibawa ke Hospital Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk rawatan lanjut.

Kata Rafizi, polis turut berada di kawasan kejadian selepas insiden terbabit berlaku. Jelasnya kenyataan turut diberikan kepada pihak berkuasa.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Hospital UPM yang telah membantu keluarga saya melalui kejadian ini.”

Anggap ia amaran untuk tidak lantang bersuara dalam beberapa perkara

Menurut beliau lagi, ini adalah kali pertama keluarga menjadi sasaran serangan serta ugutan sepanjang dia menjadi ahli politik berprofil awam.

Malah beliau turut percaya serangan berkenaan adalah sebagai satu amaran untuknya tidak bersuara lantang dalam beberapa isu tertentu.

Polis sahkan insiden babitkan serangan terhadap anak lelaki Rafizi

Polis kemudiannya mengesahkan mengenai insiden serangan yang berlaku ke atas anak lelaki Rafizi yang berlaku pada jam 2 petang, semalam (13 Ogos).

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar anak lelaki Rafizi yang berusia 12 tahun itu dilaporkan tidak mengalami apa-apa kecederaan fizikal.

Jelasnya serangan yang dilakukan dua lelaki itu berlaku di tempat menurun dan mengambil penumpang di pusat beli-belah terbabit.

“Saya sahkan mengenai kejadian ini dan pada masa ini, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek terbabit.

“Kita juga sedang mendapatkan keterangan saksi dan petunjuk yang ada di kawasan kejadian,” ujarnya, lapor Berita Harian.

Menurutnya mangsa juga sedang mendapatkan rawatan di hospital berkenaan sambil ditemani ibu bapanya.

Walau bagaimanapaun Shazeli tidak mengulas mengenai jumlah penyerang serta cara serangan berlaku sehingga maklumat lengkap diperolehi.

Dalam pada itu, difahamkan pihak polis juga sedang meneliti rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengesan identiti penyerang berkenaan.

Polis jalankan siasatan dari pelbagai sudut

Tambah Shazeli lagi, pihak polis turut akan menjalankan siasatan daripada pelbagai sudut termasuk kemungkinan bermotif politik.

Kes disiasat mengikut Seksyen 352 dan 324 Kanun Keseksaaan kerana menyerang dan menyebabkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya, serta Seksyen 14(d) Akta kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak.

“Setakat ni kita tengok semua aspek, tak ada lagi petunuuk ke arah tersebut tapi kita tengok semua angle,” jelasnya dipetik Malaysiakini.

Tunggu keputusan analisa untuk ketahui kandungan dalam picagari, mangsa dibenarkan pulang

Pihak polis juga perlu menunggu keputusan analisis untuk mengenal pasti kandungan picagari yang digunakan sewaktu serangan terbabit.

“Setakat ini keadaan mangsa alhamdulillah, (baik). Dia sudah pun dibenarkan keluar hospital.”

PM & Menteri KDN beri jaminan kes disiasat dengan telus

Sementara itu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi jaminan kes terbabit akan disiasat dengan adil tanpa dipengaruhi status atau latar belakang mana-mana pihak.

Malah beliau sudah menghubungi Ahli Parlimen Pandan itu dan menzahirkan rasa simpati atas apa yang berlaku.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memberi jaminan kes serangan fizikal itu membabitkan anak Rafizi akan dilakukan secara telus serta rapi.

“Apa dibangkitkan (mengenai insiden serangan ke atas anak Rafizi)… dukacita kerana sudah ada budaya agak melampau daripada buli hingga kematian dan kini anak Ahli Parlimen Pandan (Rafizi).

“Saya telah menghubungi Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) dan Ketua Polis Negara (Datuk Seri Mohd Khalid Ismail) untuk teruskan siasatan telus dan rapi kerana budaya ini membimbangkan.

“Saya beri beri jaminan apa disebut Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara bahawa mereka akan bertindak segera, pantas dan telus… bukan saja ambil tindakan tetapi juga menghentikan budaya jahat ini,” katanya dipetik Berita Harian.

Source: