Kes Anggota Tentera Dipukul: Bapa Dedah Anak Masih Koma & Mahu Saman Si Pelaku

LocalPolitics
3 Apr 2026 • 1:41 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Semalam (2 April), kecoh di media sosial kes seorang anggota tentera yang cedera parah dipercayai akibat dipukul di Kem Tentera Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Bentong, Pahang.

Dalam kejadian yang berlaku pada 30 Mac kira-kira jam 8 malam itu, mangsa, Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi kini tidak sedarkan diri dan masih memerlukan bantuan alat pernafasan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.

Selain Muhammad Amirul Raziq, terdapat enam lagi anggota yang dipercayai menjadi mangsa pukul oleh seorang Pegawai Tidak Tauliah Rendah (PTTR) menjadikan jumlah keseluruhan adalah seramai tujuh orang

Menurut Sel Perhubungan Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam satu kenyataan semalam mendedahkan siasatan awal mendapati suspek telah menampar dan menumbuk muka serta bahagian perut tujuh anggota terbabit gara-gara tidak berpuas hati dengan kerja pembersihan stor senjata yang diberikan kepada mereka

Ekoran itu, polis telah menahan seorang anggota tentera berpangkat Koperal sebaik menerima laporan daripada bapa salah seorang mangsa dan direman bermula 1 hingga 4 April.

Baca Artikel Berkaitan: Tak Puas Hati Kerja Pembersihan Stor Senjata Dipercayai Punca Anggota Tentera Dipukul

Keadaan Anak Masih Sama, Perlukan Alat Bantuan Pernafasan

Terbaharu, bapa kepada Muhammad Amirul Raziq, Rosafindi Tambi Chik yang juga bekas komando menjelaskan anaknya itu masih menggunakan alat bantuan pernafasan dan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Malah, keadaan Muhammad Amirul Raziq yang kritikal terus menggusarkan Rosafindi sekeluarga.

“Kali terakhir saya lawat adalah semalam (2 April), keputusan dia masih sama dan dia masih menggunakan alat bantuan dan belum sedarkan diri.

“Keadaan ini berlaku sejak 30 Mac lalu dan saya masih menunggu perkembangan terkini daripada doktor,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.

Tunggu Perkembangan Lanjut, Akan Ambil Tindakan Terhadap Si Pelaku

Jelas Rosafindi yang berusia 49 tahun, pihaknya juga masih menunggu perkembangan lanjut berhubung kes berkenaan.

Tambahnya lagi, dia akan mengambil tindakan perundangan terhadap individu yang memukul anaknya dalam masa terdekat.

“Sekarang, anggota tentera terbabit masih dalam tempoh tahanan reman, jadi saya hanya menunggu. Mungkin ada sedikit harapan mengenai siasatan.

“Selepas itu, kami akan buat tindakan saman terhadap individu terbabit,” katanya.

Sebelum ini, Rosafindi mendedahkan anaknya itu berada dalam keadaan kritikal susulan kegagalan otak untuk menerima oksigen serta berlaku kematian tisu otak akibat insiden berkenaan.

Baca Artikel Berkaitan: Tak Puas Hati Kerja Pembersihan Stor Senjata Dipercayai Punca Anggota Tentera Dipukul

Baca Artikel Berkaitan: Anggota Tentera Cedera Parah Disyaki Dipukul Dalam Kem, Polis Tahan Koperal