
GEORGE TOWN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Fahmi Zainol menafikan dirinya terbabit dalam siasatan terbaharu berhubung dakwaan keganasan rumah tangga membabitkan seorang wakil rakyat di Pulau Pinang.
Fahmi menerusi hantaran di Facebook pada Selasa menjelaskan kes terbaharu itu tidak melibatkan dirinya.
“Kes terbaharu melibatkan seorang ADUN Pulau Pinang bukan saya,” katanya.
Kenyataan itu dibuat susulan pengesahan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng bahawa pihaknya menerima laporan berhubung dakwaan seorang ADUN mencederakan isterinya.
Menurut Lim, siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, manakala keterangan daripada empat ahli keluarga telah dirakam bagi membantu siasatan.
Bagaimanapun, Fahmi sebelum ini pernah berdepan pertuduhan berasingan berkaitan dakwaan mencederakan isterinya, Nur Hidayah Abd Jabar.
Beliau mengaku tidak bersalah pada 27 Februari lalu atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya dalam kejadian yang didakwa berlaku di sebuah rumah di Persiaran Pantai Jerejak 11, Bayan Lepas, kira-kira jam 10 malam pada 22 Februari.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama.
Susulan pertuduhan itu, Fahmi digantung daripada semua jawatannya dalam PKR sementara menunggu kes mahkamah selesai, selain digugurkan daripada jawatan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang. - Getaran, 3 November 2026




