KLANG – Polis sedang mengenal pasti individu terlibat dalam kejadian penemuan bayi lelaki di kawasan Rantau Panjang, di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, S Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki tempatan kira-kira jam 11 pagi, 8 April lalu.
Menurutnya, bertindak atas maklumat berkenaan, sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara telah bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan pemeriksaan lanjut.
"Hasil pemeriksaan mendapati bayi lelaki itu masih hidup, cukup sifat dan tidak mempunyai sebarang kesan kecederaan luaran.
"Bayi berkenaan kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut dan kini ditempatkan di wad Special Care Nursery (SCN),” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
Tambahnya, siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti identiti bayi berkenaan serta mengesan pihak yang terlibat dalam kejadian itu.
"Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Klang Utara di talian 03-32912222.
"Mereka juga boleh terus menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohd Khairolazuan Mohd Supian di talian 011-16937331,” ujarnya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang suri rumah menemui bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan dalam keadaan menyayat hati di ruang hadapan rumahnya di Kampung Rantau Panjang.
Bayi tersebut ditemui masih bertali pusat, berlumuran darah serta dikerumuni semut dan lalat.
Bayi berkenaan turut dibedung menggunakan kain lampin, dilapik dengan tuala serta sehelai baju tanpa sebarang nota ditinggalkan.


