
Sejak semalam (7 April), kecoh di media sosial berhubung satu video tular memaparkan seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah berasrama penuh dipercayai dibuli oleh beberapa orang belajar.
Kejadian terbabit didakwa berlaku di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Pulau Pinang.
Tidak sampai beberapa jam selepas video terbabit ditularkan, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki segera tampil meminta pegawainya menyiasat sekiranya benar ia berlaku di MRSM.
Baca Artikel Berkaitan: “Tiada Kompromi, You Touch You Go” – Tular Dakwaan Buli Di MRSM, Ini Respon Asyraf Wajdi
Pihak polis juga mengesahkan insiden terbabit berlaku pada pertengahan tahun lalu membabitkan tujuh pelajar termasuk mangsa berusia 15 tahun yang dikatakan hanya bergurau dan ejek-mengejek sesama sendiri.
Video tular didakwa kes buli sah libatkan pelajar-pelajar MRSM di utara
Terbaharu, Asyraf mengesahkan bahawa video tular yang menunjukkan kejadian buli itu sah membabitkan pelajar-pelajar di sebuah MRSM di Utara Tanah Air.
Menurutnya, beliau menerima laporan penuh hasil siasatan yang dijalankan oleh pihak pengurusan MARA dan bahagian pendidikan menengah.
“Kalau didapati bahawa perkara ini (buli) benar-benar berlaku dan bersalah, kita di peringkat MARA dan MRSM tidak akan sesekali berkompromi dan tindakan tegas akan diambil,” katanya.
Pelajar terlibat akan digantung sementara siasatan dijalankan
Jelas Asyraf, pelajar-pelajar yang terlibat akan digantung terlebih dahulu agar proses siasatan tidak diganggu.
Beliau berkata, perkara itu juga untuk memberikan mesej yang jelas bahawa pihak MARA tidak boleh berkompromi dalam isu terbabit.
Asyraf pada masa sama turut mengingatkan kepada semua pelajar MRSM atau mana-mana institusi pendidikan MARA bahawa beliau telah menegaskan beberapa kali mengenai prinsip ‘You touch you go!’
“Kita tidak boleh kompromikan sebarang bentuk buli ataupun sebarang budaya buli dalam apa juga bentuk sama ada fizikal mahupun mental untuk berlaku di mana-mana institusi pendidikan MARA,” katanya lagi.
Saya telah menerima laporan bahawa video yang tular sejak pagi tadi disahkan berlaku di salah sebuah MRSM di utara tanah air.
— Dr Asyraf Wajdi (@drasyrafwajdi) April 7, 2025
MARA memandang serius insiden ini. Kita tidak akan berkompromi dengan sebarang perlakuan buli, tidak kira siapa pelakunya. pic.twitter.com/LCVzmktZj5
7 pelajar terlibat disyorkan ditamatkan pengajian di MRSM
Dalam perkembangan terbaharu, Asyraf Wajdi memaklumkan tujuh pelajar didapati terlibat dalam insiden tersebut.
Jelas beliau, keputusan Jawatakuasa Disiplin Maktab mendapati dua dari tujuh pelajar tersebut melakukan buli fizikal, manakala selebihnya bersubahat.
Katanya, sehubungan itu jawatankuasa terbabit mengesyorkan kesemua pelajar terlibat ditamatkan pengajian dari MRSM.
Polis tak terima sebarang laporan, namun sudah kenal pasti pelajar terlibat
Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Deputi Superintendan Mohd Norazmi Abd Ghapar berkata, setakat ini tiada laporan diterima pihaknya berhubung insiden tersebut.
Katanya, bagaimanapun pihak polis telah menjalankan siasatan awal dan sudah mengenal pasti pelajar-pelajar yang terlibat.
“Mereka adalah pelajar tingkatan tiga di institusi berkenaan. Mereka akan dirakamkan keterangan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya dipetik Harian Metro.

