
PETALING JAYA, 18 SEPT: Pelajar yang menyaksikan kejadian buli digesa segera mendapatkan bantuan dan tidak merakam atau menularkan insiden berkenaan di media sosial.
Pegawai Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor Natalie Alin berkata mangsa perlu dibawa kepada individu yang dipercayai seperti guru disiplin atau kaunselor supaya tindakan segera dapat diambil.
“Jangan beri ruang kepada pembuli untuk terus membuli. Apabila sesuatu kekerasan berlaku kepada pelajar, pihak berkuasa boleh masuk campur,” katanya ketika ditemui pada Kempen Sifar Buli Negeri Selangor dan Pelancaran Inisiatif Hab Rakan Sokongan serta Talian Belia SEHAT, di sini hari ini.
Menurutnya, mendapatkan pertolongan bukan tanda kelemahan, sebaliknya langkah penting bagi menghentikan perbuatan buli daripada berulang.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menjadikan kejadian buli sebagai hiburan dengan bersorak, merakam atau menyebarkan video kerana tindakan itu boleh menambah tekanan kepada mangsa.
Dalam pada itu, Natalie berkata ibu bapa perlu sentiasa berhubung dengan pihak sekolah bagi mengetahui keadaan sebenar anak dan tidak hanya menilai berdasarkan tingkah laku mereka di rumah.
“Mungkin anak di rumah nampak baik, tetapi ibu bapa kena rajin juga bertanya dengan guru bagaimana keadaan anak di sekolah kerana kadang-kadang sebagai ibu bapa kita mungkin terlepas pandang,” katanya.
Beliau berkata pendekatan ibu bapa yang terlalu tegas atau sering meninggikan suara juga boleh menyebabkan anak takut berkongsi masalah yang dihadapi.
Keadaan itu boleh menyebabkan anak memilih untuk memendam atau melepaskan tekanan di sekolah apabila mereka merasakan tidak didengari di rumah.





