
KUALA LUMPUR - Mahkamah Majistret Sepang hari ini memerintahkan kes pasangan kekasih yang berdepan pertuduhan bersubahat dan membunuh pelajar universiti Maniishapriet Kaur Akhara, Jun lalu dipindah ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Majistret Khairatul Animah Jelani memerintahkan keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, untuk memindahkan kes dihadapi M Sri Darvien dan teman wanitanya, V D Thineswary, masing-masing berusia 19 tahun, lapor Harian Metro.
"Kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi (Shah Alam)," katanya ringkas.
Sri Darvien, seorang penganggur didakwa membunuh Maniishapriet di sebuah kondominium di Cyberjaya, antara jam 9.11 malam sehingga 11.31 malam, pada 23 Jun lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum gantung sampai mati atau boleh dipenjara maksimum 40 tahun dengan 12 kali sebatan.
Thineswary yang juga rakan serumah mangsa pula didakwa bersubahat dengan Sri Darvien di lokasi dan hari yang sama.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama di mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman sama dengan Sri Darvien. - 11 September, 2025
The post Kes bunuh Maniishapriet dipindah ke Mahkamah Tinggi Shah Alam appeared first on Scoop.
