
KUALA LUMPUR - Siasatan kes pembunuhan pelajar kolej, Nurfisya Zulkifly, 19 kini tertumpu kepada dua remaja lelaki, selepas pasangan warga emas yang ditahan sebelum ini dibebaskan semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, pasangan berusia 60 dan 66 tahun itu sebelum ini ditahan di Ketereh, bersama dua remaja berusia 19 tahun yang terlibat membantu siasatan.
“Pasangan warga emas itu telah dibebaskan dengan jaminan polis.
“Kami sedang menumpukan siasatan terhadap dua remaja lelaki itu,” katanya.
Jelas Mohd Azmir, dua remaja terbabit telah direman selama tujuh hari di Mahkamah Majistret, berkuat kuasa Sabtu.
Beliau berkata, kes itu disiasat secara menyeluruh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, dan polis sedang meneliti segenap aspek, termasuk motif kejadian.
Terdahulu, empat individu, termasuk pasangan warga emas telah ditahan antara jam 4.40 petang Jumaat dan 2.30 pagi Sabtu bagi membantu siasatan pembunuhan kejam Nurfisya.
Mayat pelajar Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak semester ketiga itu ditemui di jalan raya di sawah padi di Ketereh pada jam 12.20 pagi, Jumaat lalu.
Keputusan bedah siasat mengesahkan bahawa 61 luka tikaman ditemui pada badan dan muka mangsa, dan kematian berpunca akibat beberapa luka tikaman di dada. – Getaran, 4 Mei 2026






