KOTA BHARU - Polis Kelantan membuka kertas siasatan susulan penularan pelbagai spekulasi dan maklumat tidak sahih di media sosial berkaitan kes bunuh seorang penuntut Kolej Poly-Tech MARA (KPTM), Nurfisya Zulkifly, 19, yang berlaku di Ketereh di sini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pihaknya memandang serius penyebaran hantaran yang mengandungi fakta tidak tepat sehingga boleh mengelirukan orang ramai.
"Antara kandungan yang dikesan termasuk spekulasi berkaitan latar belakang suspek, penggunaan gambar rasmi saya (Ketua Polis Kelantan) bagi menarik perhatian awam, selain tajuk sensasi yang tidak tepat.
"Turut dikesan tindakan mengeksploitasi kenyataan rasmi polis dengan cara dimanipulasi atau ditokok tambah, serta penggunaan logo rasmi Polis Diraja Malaysia tanpa kebenaran sehingga menimbulkan persepsi seolah-olah ia kenyataan rasmi," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau memberitahu, susulan itu satu laporan polis telah dibuat dan kes disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Tegasnya, penyebaran maklumat palsu atau mengelirukan bukan sahaja boleh menimbulkan kegusaran awam, malah berupaya mengganggu serta menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.
Sehubungan itu, Mohd Yusoff menyeru orang ramai agar lebih bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial dengan tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan kesahihannya.
"Orang ramai juga diminta mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis," katanya.
Tambah beliau, kerjasama semua pihak amat dihargai bagi memastikan ketenteraman awam terus terpelihara dan proses siasatan dapat dijalankan dengan lancar serta berkesan.






