KOTA BHARU – Siasatan kes pembunuhan penuntut kolej, Nurfisya Zulkifly kini ditumpukan pada dua remaja lelaki selepas pasangan warga emas yang sebelum ini ditahan, dibebaskan pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, pasangan suami isteri berusia 60 dan 66 tahun itu sebelumnya ditahan di Ketereh bersama dua remaja berusia 19 tahun terbabit bagi membantu siasatan.
“Pasangan warga emas ini dibebaskan dengan jaminan polis.
“Kami fokus siasatan terhadap dua remaja lelaki itu,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua suspek lelaki terbabit direman selama tujuh hari di Mahkamah Majistret di sini berkuat kuasa bermula Sabtu.
Katanya, kes disiasat secara menyeluruh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh termasuk meneliti motif kejadian.
Akhbar sebelum ini melaporkan empat individu termasuk pasangan warga emas ditahan antara jam 4.40 petang, Jumaat hingga 2.30 pagi Sabtu bagi membantu siasatan pembunuhan kejam Nurfisya,19.
Mayat penuntut Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak semesta ketiga itu ditemukan di atas jalan di kawasan sawah di Ketereh pada jam 12.20 tengah malam di sini pada Jumaat lalu.
Hasil bedah siasat mengesahkan sebanyak 61 kesan tikaman ditemukan di badan dan muka mangsa selain maut akibat tikaman berganda di bahagian dada





