SHAH ALAM, 23 FEB: Semua pihak digesa menyediakan persekitaran yang selamat khususnya kepada wanita dan kanak-kanak susulan insiden cabul dalam masjid di Batang Kali, kelmarin.
Prihatin dengan nasib kanak-kanak berkenaan, EXCO kebajikan turut meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat memberi khidmat kaunseling percuma kepada mangsa untuk menangani trauma.
“Semoga mangsa berada dalam keadaan yang sihat dan sejahtera daripada segenap aspek sama ada fizikal, mental, emosi mahupun spiritual. Semoga masjid serta seluruh Selangor menjadi tempat yang selamat untuk semua.
“Saya kesal dengan kenyataan sesetengah pihak yang menyatakan bahawa wanita sepatutnya hanya solat di rumah. Sebaliknya, kita perlu menyediakan persekitaran yang selamat untuk wanita dan kanak-kanak, bukan menghalang terus mereka daripada keluar rumah,” kata Anfaal Saari dalam kenyataan.
Pada 21 Februari, tular di media sosial satu insiden cubaan merogol kanak-kanak perempuan dalam ruang solat jemaah wanita di Masjid Jamek Sungai Masin, Batang Kali sekitar waktu Subuh.
Susulan itu, lelaki warga tempatan berusia 19 tahun yang disyaki mencabul mangsa ditahan pada hari sama dan kini direman tujuh hari sehingga 28 Februari.
Suspek yang disahkan memiliki kad Orang Kurang Upaya (OKU) masalah pembelajaran direman mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Anfaal menegaskan kad OKU tidak mengecualikan pelaku daripada dikenakan tindakan bahkan percaya polis melakukan siasatan yang terbaik untuk memastikan keadilan tertegak.
“Kita harus melakukan lebih banyak untuk menjaga OKU khasnya yang tidak waras, supaya mereka tidak melakukan apa-apa yang boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain atas ketidak-warasan mereka.
“Insya-Allah, dengan tertubuhnya Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) yang dijadualkan pada tahun ini, Kerajaan Negeri berhasrat untuk melebarkan lagi inisiatif OKU, agar mencakupi juga OKU dewasa dan memberi manfaat kepada pelbagai lagi kategori OKU,” katanya.
@anfaalsaari KENYATAAN BERKENAAN KES CABUL KANAK-KANAK PEREMPUAN DI SEBUAH MASJID DI BATANG KALI 1. Saya menzahirkan kekesalan dan bersimpati terhadap kanak-kanak perempuan mangsa gangguan seksual oleh lelaki OKU di sebuah masjid di Batang Kali. 2. Saya memohon pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat menyediakan perkhidmatan kaunseling secara percuma kepada mangsa untuk menangani potensi trauma susulan kes ini. 3. Saya turut kesal dengan kenyataan sesetengah pihak yang menyatakan bahawa wanita sepatutnya hanya menunaikan solat di rumah. 4. Sebaliknya, kita perlu menyediakan persekitaran – masjid, sekolah, tempat kerja, tempat-tempat awam, dan sebagainya – yang selamat untuk wanita dan kanak-kanak, bukan menghalang terus wanita dan kanak-kanak daripada keluar daripada rumah. 5. Saya juga meminta masyarakat untuk tidak mempunyai stigma negatif terhadap golongan orang kurang upaya (OKU) susulan kes ini. Kad OKU tiadalah sentiasa mengecualikan pelaku daripada dikenakan tindakan. 6. Tahap kewarasan pelaku tersebut harus diuji untuk menentukan samada pelaku boleh membezakan baik dan buruk semasa melakukan perbuatan yang tercela ini. Apapun, saya percaya pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan yang baik untuk memastikan keadilan tertegak. 7. Kita harus melakukan lebih banyak untuk menjaga OKU khasnya yang tidak waras ini, supaya mereka tidak melakukan apa-apa yang boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain atas ketidak-warasan mereka. 8. Insya-Allah, dengan tertubuhnya Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) yang dijadualkan pada tahun ini, Kerajaan Negeri Selangor berhasrat untuk melebarkan lagi inisiatif untuk golongan OKU, agar mencakupi juga OKU dewasa dan memberi manfaat kepada pelbagai lagi kategori OKU. 9. Semoga mangsa berada dalam keadaan yang sihat dan sejahtera daripada segenap aspek – fizikal, mental, emosional, dan spiritual. Semoga masjid-masjid kita serta seluruh Selangor menjadi tempat yang selamat untuk semua termasuklah golongan kanak-kanak dan wanita. 22 Februari 2025 YB ANFAAL SAARI Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat
The post Kes cabul di masjid: Semua pihak digesa pastikan persekitaran selamat (VIDEO) appeared first on Selangorkini.

