Kes COVID-19 Di Malaysia Stabil, Tiada Kematian Direkodkan Tahun Ini - KKM

24 May 2026 • 6:08 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Kes COVID-19 Di Malaysia Stabil, Tiada Kematian Direkodkan Tahun Ini - KKM

KUALA LUMPUR — Jangkitan COVID-19 di Malaysia kekal stabil dan menunjukkan trend penurunan yang ketara berbanding tahun lalu, dengan tiada kematian direkodkan sepanjang tahun ini.

Jurucakap Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, keadaan di Malaysia masih berada pada tahap terkawal walaupun beberapa negara jiran melaporkan peningkatan kes baru-baru ini.

Setakat Minggu Epidemiologi (ME) 19/2026, jumlah kes COVID-19 di negara ini mencatatkan penurunan sebanyak 12.6 peratus, iaitu 9,682 kes berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

“Walaupun terdapat peningkatan sebanyak 0.7 peratus, iaitu 575 kes berbanding ME18/2026, situasi semasa masih terkawal,” katanya.

Jelas jurucakap itu, sebahagian besar kes yang dilaporkan hanya melibatkan gejala ringan dan tidak memerlukan rawatan di hospital. 

Dalam pada itu, katanya, aktiviti penjujukan genom yang dijalankan secara berterusan telah mengesan beberapa subvarian baharu dalam komuniti. 

“Namun, setakat ini tiada bukti yang menunjukkan varian tersebut berpotensi mencetuskan gelombang jangkitan yang serius.

“KKM akan terus memperkukuh saringan di pintu masuk antarabangsa serta bekerjasama dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) bagi memastikan pengesanan awal dilakukan dan tindakan segera diambil sekiranya terdapat peningkatan risiko penularan dari luar negara,” katanya.

Beliau memberitahu, jangkitan COVID-19 kini diuruskan sebagai sebahagian daripada jangkitan saluran pernafasan akut biasa, seperti selesema dan influenza.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk terus mengamalkan langkah pencegahan kendiri, termasuk menjaga kebersihan tangan, memakai pelitup muka apabila bergejala atau berada di kawasan sesak, serta mendapatkan vaksinasi sebagai perlindungan.

“Vaksinasi amat digalakkan, khususnya bagi kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas, individu dengan penyakit kronik, golongan imuniti rendah, dan wanita hamil, bagi mengurangkan risiko komplikasi jangkitan,” katanya.

Sementara itu, Singapura dilaporkan sedang memantau peningkatan kes COVID-19 selepas mencatatkan 12,700 kes bagi minggu 10 hingga 16 Mei, berbanding 8,000 kes pada minggu sebelumnya. - Getaran, 24 Mei 2026