Pemandu e-hailing tawan Tanjung Harapan, bawa pulang RM7,000

24 May 2026 • 6:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pemandu e-hailing tawan Tanjung Harapan, bawa pulang RM7,000
Sebahagian peserta yang menyertai pertandingan memancing sempena kempen Tahun Melawat Malaysia di Pantai Tanjung
Image from: Pemandu e-hailing tawan Tanjung Harapan, bawa pulang RM7,000
Syahfizam (kanan) bersama pemenang pertandingan memancing di Pantai Tanjung Harapan.

PELABUHAN KLANG – Tuah menyebelahi seorang pemandu e-hailing dari Kelantan apabila berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000 selepas menjuarai pertandingan memancing sempena kempen Tahun Melawat Malaysia di Pantai Tanjung Harapan di sini pada Ahad.

Mohamad Zulhelmi Awang, 32, muncul juara selepas berjaya menaikkan ikan gemang seberat 0.815 kilogram (kg) kira-kira jam 11.30 pagi, sekali gus menewaskan lebih 250 peserta lain yang mengambil bahagian dalam pertandingan anjuran Kelab Pemancing Surfcast Profesional Bersatu Malaysia (Mupsac) itu.

Tempat kedua dimenangi Mohd Noh Salimeh, 41, dari Johor menerusi tangkapan ikan pari seberat 0.745kg manakala Mohd Hafazli Mohd Yusof, 47, dari Perak menduduki tempat ketiga selepas menaikkan ikan senangin seberat 0.686kg.

Selain wang tunai RM7,000 untuk juara, Mohd Noh membawa pulang RM1,500 manakala Mohd Hafazli menerima RM700.

Hadiah disampaikan oleh Pengarah Projek Mupsac, Syahfizam Leman.

**media[3531473]**

Menurut Zulhelmi, kemenangan itu amat bermakna selepas lebih empat tahun aktif menyertai pertandingan memancing kategori pantai tanpa kejayaan besar.

“Alhamdulillah, akhirnya rezeki berpihak kepada saya kali ini. Selama ini saya banyak menyertai pertandingan tetapi belum pernah bergelar juara.

“Saya menggunakan umpan perumpun sarang dan tidak sangka ikan gemang yang berjaya dinaikkan pada jam 11.30 pagi itu menjadi tangkapan terbaik pertandingan,” katanya.

Sementara itu, Syahfizam berkata, Mupsac akan meneruskan siri pertandingan memancing di beberapa lokasi lain selepas ini bagi memeriahkan lagi aktiviti rekreasi dan pelancongan tempatan.

Menurutnya, pertandingan seterusnya dijadual berlangsung di Pantai Lumut Waterfront pada 26 Julai depan.

“Selain itu, kami turut merancang penganjuran pertandingan di Taman Tasik Seksyen Tujuh, Shah Alam serta Pantai Seri Menanti di Muar pada November nanti,” katanya.