
KUALA LUMPUR - Kes ‘penculikan’ sepasang bayi kembar yang didakwa berlaku di Hospital Kuala Lipis, Pahang disahkan sebagai palsu.
Jurucakap Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) berkata, pihaknya memandang serius laporan terbabit yang tular di media sosial.
“Pada 11 April 2025, satu hantaran di media sosial Facebook telah tular berkenaan bayi kembar yang didakwa telah dirawat selama sembilan bulan di Hospital Kuala Lipis dan dilaporkan hilang pada hari ini dan dilarikan oleh 'Doktor Palsu' bernama Dr. Amalina Husna.
“Siasatan awal telah dilaksanakan dan mendapati tiada bayi kembar seperti yang didakwa telah menerima rawatan selama sembilan bulan di wad kanak-kanak Hospital Kuala Lipis,” katanya.

Tegas jurucakap itu, ibu berkenaan kali akhir menerima rawatan di Hospital Lipis adalah pada Julai tahun lalu.
“Bagi dakwaan wujudnya 'Doktor Palsu yang bernama Dr. Amalina Husna yang merawat 'bayi' selama sembilan bulan di Hospital Kuala Lipis pula, didapati tiada rekod bagi kewujudan doktor tersebut pernah bertugas di Hospital Kuala Lipis.
“Laporan polis telah dibuat oleh Pengurusan Tertinggi Hospital Kuala Lipis bagi mengelakkan sebarang berita yang tidak berasas disebarkan sewenang-wenangnya. Ini boleh menjejaskan kredibiliti dan integriti pengurusan dan perawatan di Hospital Kuala Lipis dan JKNP khususnya,” katanya.
Tinjauan Getaran di media sosial mendapati, dakwaan dibuat ibu bapa kedua bayi berkenaan juga sudah mula dicurigai kerana plot cerita yang disifatkan sebagai ‘tak masuk akal’.
Lebih membingungkan, gambar kedua bayi terbabit sebenarnya diambil dari platform media sosial seperti Google dan Pinterest.

Menjengah ke ruangan komen, majoriti netizen menyifatkan penceritaan suami isteri terbabit sebagai amat meragukan.
Beberapa individu yang bertugas sebagai jururawat juga berkata, nurseri hospital dan Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) adalah kawasan larangan dan tidak boleh dilawati sesuka hati.
Scha Ara misalnya berkata, NICU juga tidak boleh dimasuki sesuka hati walaupun individu tersebut bertugas di hospital berkenaan.
“Macam pelik sangat. Kita yang kerja hospital ni bukan senang boleh keluar masuk NICU. Peliklah,” katanya menerusi ruangan komen di Facebook.
Pendapat senada disuarakan Nadia Nordin, yang mengakui NICU dan nurseri adalah kawasan larangan dengan peraturan amat ketat.
“Tau takpe. Kita yang nurse biasa ni nak masuk nurseri hospital sendiri pun susah,” katanya yang sudah lebih sepuluh tahun bertugas sebagai jururawat di hospital.

Kes ‘penculikan’ bayi kembar terbabit mula viral semalam selepas rakan pasangan suami isteri itu memuat naik hantaran di Facebook.
Dia yang dikenali sebagai Zaihasfarizan Md Rasid mendakwa, kedua bayi itu dirawat di NICU Hospital Kuala Lipis sejak dilahirkan, sembilan bulan lalu.

Katanya, kehilangan itu hanya diketahui semalam, sewaktu rakannya bersama isteri mahu melawat bayi mereka.
“Tapi harini 11/4/2025 mereka suami isteri nak melawat anak nya tapi pihak hospital maklumkan bahawa anak kembar nya telah hilang diculik 2 minggu berlalu!
“Korang pihak hospital takde maklumkan pun tentang anak mereka hilang!!! Mana hati perut korang? Itu anak orang! Ni bukan anak ayam dan ni bukan drama Melayu kau nak culik ambil anak orang!!! Sakit beranak dia pun tak hilang lagi!!!,” katanya menerusi hantaran tersebut. - Getaran, 12 April 2025



