
PUTRAJAYA: Beberapa penambahbaikan perlu dilaksanakan dalam kadar segera melibatkan keselamatan penerbangan iaitu dengan menempatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) di lapangan terbang, susulan kes penahanan membabitkan seorang pembantu juruterbang Malaysia Airlines (MAG) di Indonesia minggu lalu kerana disyaki menyeludup dadah.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) menerusi mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Berhubung penahanan seorang juruterbang ataupun ‘co-pilot’ MAS di Jakarta, Jemaah Menteri dimaklumkan oleh pihak KDN dan MOT bahawa beberapa langkah penambahbaikan perlu dilaksanakan segera.
“Pertama, yang membabitkan ‘aviation security’ yang perlu ditempatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana pada waktu ini pasukan yang menguruskan adalah dalam kalangan polis bantuan,” katanya menerusi sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, pembantu juruterbang berusia 39 tahun itu ditahan di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta, Jakarta selepas petugas Kastam dan Cukai Indonesia mengesan objek mencurigakan dalam bagasi miliknya ketika pemeriksaan mesin pengimbas sinar-X di balai ketibaan antarabangsa.
Pemeriksaan lanjut menemukan 14 bungkusan besar mengandungi 70,114 pil ekstasi seberat 25.19 kilogram, selain satu bungkusan syabu seberat 2.75 gram dan sisa syabu seberat 0.08 gram dalam paip kaca.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi ktu berkata, KDN dan PDRM turut diminta untuk meneliti aspek yang mungkin boleh disalahguna, termasuk sebarang kelompongan dalam sistem sedia ada.
Selain itu, katanya, pihak Malaysia Aviation Group (MAG) diminta supaya menyemak semula protokol saringan latar belakang dan kesihatan membabitkan juruterbang dan pembantu juruterbang.
“Pada waktu ini kita baru menerima laporan lisan daripada Menteri Pengangkutan dan Menteri Dalam Negeri. Dan memandangkan kes di Indonesia itu masih aktif, maka kita perlukan sedikit masa untuk meneliti laporan penuh.
“Kita akan teliti (dan) pertimbang tindakan-tindakan susulan selain daripada apa yang saya sebutkan di awal tadi mengenai meletakkan anggota polis sekali bersama aviation security di lapangan terbang dan lain-lain selepas kita mendapat laporan penuh mengenai kejadian tersebut,” ujarnya.
Fahmi berkata, kerajaan juga akan meneliti dan mempertimbangkan tindakan susulan selain langkah penempatan anggota PDRM bersama AVSEC di lapangan terbang selepas menerima laporan penuh berhubung kejadian berkenaan.
“Kita perlu tahu siapa lagi yang kemungkinan terbabit. Mereka yang terbabit perlu dihadapkan ke muka pengadilan dan beberapa tindakan menyeluruh perlu kita ambil untuk pastikan kelompongan dapat ditutup dengan segera,” katanya. – UTUSAN
The post Kes dadah babit juruterbang: Tempatkan anggota polis bersama AVSEC di lapangan terbang appeared first on Utusan Malaysia.





