
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memfailkan permohonan pelucutan hak di mahkamah terhadap Menara Ilham yang terletak di Jalan Binjai, Kuala Lumpur, menjadikannya aset terkini yang disita berkaitan siasatan ke atas harta milik keluarga dan proksi Allahyarham Tun Daim Zainuddin.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata proses pelucutan hak ini melibatkan dokumen yang kompleks dan tidak mudah diselesaikan.
“Kita akan melakukan proses (pelucutan hak) hari ini dan saya katakan, ia bukan melalui proses yang mudah kerana banyak perkara yang perlu dilakukan, malah dokumen (berkaitan Menara Ilham) juga tebal,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Beliau turut mengesahkan bahawa beberapa aset lain yang dikaitkan dengan tokoh korporat dan bekas menteri kewangan itu akan melalui proses yang sama dalam masa terdekat.
Sebelum ini, SPRM telah menyita Menara Ilham buat kali kedua menerusi Notis Penyitaan Harta Tak Alih bertarikh 4 Jun, di bawah Seksyen 51(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001), setelah mendapat kelulusan daripada Timbalan Pendakwa Raya.
Bangunan 60 tingkat itu turut pernah disita pada Disember 2023 di bawah Seksyen 38(1) Akta SPRM dan Seksyen 376(3) Kanun Tatacara Jenayah. Melalui sitaan ini, sebarang urusan pemindahan milik ke atas bangunan berkenaan adalah dilarang sehingga proses undang-undang selesai.
Menara Ilham, juga dikenali sebagai Menara IB (Ilham Baru), siap dibina pada 2015 dan menempatkan hotel empat bintang, pejabat korporat, galeri, medan selera, serta unit kediaman servis.
Aset mewah di London turut dibekukan, perintah larangan di UK difailkan
Tan Sri Azam turut mengesahkan bahawa pihak berkuasa United Kingdom telah bersetuju mengenakan perintah larangan terhadap aset dan harta milik keluarga serta proksi yang dikaitkan dengan Allahyarham Daim di negara itu, dengan nilai dianggarkan sekitar RM700 juta.
“Pada 5 Jun, kami memfailkan perintah sekatan aset di United Kingdom bernilai RM700 juta. Kami memaklumkan pihak berkuasa di sana, dan semalam (24 Jun) kami diberitahu mereka telah memfailkan perkara yang sama ke mahkamah mereka,” katanya.
Beliau berkata, proses itu adalah hasil permohonan SPRM yang meminta pindaan terhadap beberapa perkara berkaitan perintah larangan tersebut. Mahkamah di UK telah menetapkan 9 Julai ini sebagai tarikh pengurusan kes, susulan campur tangan yang difailkan oleh pihak defendan.
Terdahulu, SPRM melaporkan bahawa tujuh aset termasuk tiga kediaman mewah di London dan satu akaun bank yang didakwa milik isteri Allahyarham Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, dan keluarganya telah dibekukan pada 5 Jun dengan nilai keseluruhan berjumlah £132 juta (RM758.2 juta).
Pembekuan tersebut dibuat selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan ex-parte oleh SPRM. Ia bertujuan menghalang sebarang cubaan untuk melupuskan aset-aset yang didakwa berkaitan kesalahan di bawah Seksyen 4(1) AMLATFPUAA 2001.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi kemudiannya menggantung sementara perintah pembekuan tersebut selepas permohonan dibuat oleh peguam Toh Puan Na’imah, namun Azam menegaskan pembekuan aset itu masih berkuat kuasa setakat ini.
“Mungkin cara penyampaian pemberitaan (tidak tepat) tetapi saya difahamkan ada pencelah yang ditetapkan mahkamah pada 9 Julai kerana sebelum ini tiada dimasukkan pencelah,” katanya. – 25 Jun, 2025
The post Kes Daim: SPRM fail pelucutan hak Menara Ilham, UK setuju sekat aset London RM700juta appeared first on Scoop.

