Kes dera kanak-kanak: Amanah yang dikhianati

LocalFamily & Parenting
25 May 2026 • 10:10 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kes dera kanak-kanak: Amanah yang dikhianati
Kes demi kes penderaan kanak-kanak yang terbongkar sejak beberapa tahun lalu membuktikan masih wujud pengasuh yang gagal menggalas amanah diberikan.

SABAN hari, ramai ibu bapa meninggalkan anak di taman asuhan kanak-kanak dengan satu harapan besar, agar insan kecil itu dijaga penuh kasih sayang sementara mereka mencari rezeki.

Bagaimanapun, bagi sebahagian keluarga, keputusan menghantar anak ke pusat asuhan akhirnya menjadi mimpi ngeri yang menghancurkan seluruh kehidupan.

Kes demi kes penderaan kanak-kanak yang terbongkar sejak beberapa tahun lalu membuktikan masih wujud pengasuh yang gagal menggalas amanah diberikan.

Lebih menyedihkan, mangsa kebanyakannya bayi dan kanak-kanak yang langsung tidak mampu mempertahankan diri.

Seperti kes di Kuala Terengganu, seorang bayi lelaki berusia empat bulan koma selepas dipercayai didera di sebuah taska pada Januari 2023.

Mangsa mengalami pendarahan dalam otak dan retak tempurung kepala, kecederaan serius yang mengubah hidupnya buat selama-lamanya.

Pengasuh, Raja Noor Iffa Nadia Raja Nordin kemudian didakwa atas tujuh pertuduhan menganiaya mangsa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Bapa mangsa kemudiannya memfailkan saman sebanyak RM1.2 juta terhadap pengasuh terbabit, dua lagi pengasuh dan pemilik taska selepas anaknya mengalami kecacatan kekal.

Di Selangor pula, rakyat negara ini pernah dikejutkan dengan video tular memaparkan seorang pengasuh mengasari bayi di pusat jagaan di Batu Caves pada Mei 2023.

Walaupun tertuduh mengaku salah dan didenda RM10,000, persoalan besar tetap timbul sama ada hukuman sedemikian benar-benar mampu memberi keadilan kepada mangsa.

Terbaharu, negara sekali lagi digemparkan dengan kes kematian bayi lelaki berusia tujuh bulan di sebuah taska di Bandar Kinrara, Puchong.

Pengasuh wanita, Balqish Mohammad Dzyhan didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas pertuduhan membunuh bayi itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Apabila kes penderaan mula melibatkan kematian, ia bukan lagi isu kecuaian semata-mata tetapi kegagalan serius dalam sistem perlindungan kanak-kanak.

Lebih membimbangkan apabila statistik menunjukkan kes penderaan kanak-kanak terus meningkat.

Polis Selangor merekodkan 387 kes penderaan kanak-kanak antara Januari hingga Oktober 2024 dengan 89 kes melibatkan pengasuh atau penjaga.

Jabatan Kebajikan Masyarakat pula merekodkan lebih 6,000 kes penderaan kanak-kanak pada 2021 dan jumlah itu terus meningkat tahun berikutnya.

Di sebalik setiap nombor, ada kanak-kanak yang menangis dalam ketakutan, ada ibu bapa yang hidup dalam penyesalan dan ada keluarga yang terpaksa menanggung trauma sepanjang hayat.

Hakikat paling menyayat hati ialah kebanyakan kes berlaku di lokasi yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat buat anak kecil.

Banyak kes hanya terbongkar selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tular, pemeriksaan hospital atau apabila ibu bapa menyedari kesan lebam pada tubuh anak.

Dalam dunia serba sibuk hari ini, ibu bapa tidak mempunyai banyak pilihan selain menyerahkan anak kepada pengasuh ketika bekerja.

Justeru, amanah menjaga kanak-kanak bukan tugas biasa, sebaliknya tanggungjawab besar melibatkan nyawa dan masa depan insan tidak berdosa.

Apabila amanah itu dikhianati, kesannya bukan sahaja meninggalkan luka pada tubuh mangsa, tetapi parut mendalam dalam hati seluruh keluarga.

* Noor Azlida Alimin ialah wartawan Sinar Harian