Prosiding semakan kehakiman Majlis Peguam terhadap keputusan Peguam Negara (AG) menghentikan pendakwaan ke atas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Foto: Kosmo
Memetik laporan Free Malaysia Today, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan penangguhan yang dikemukakan AG dalam prosiding di kamar Hakim Azizan Arshad.
Peguam yang mewakili Zahid, Guok Ngek Seong berkata, keputusan itu mengambil kira perkembangan di Mahkamah Persekutuan yang memberikan kebenaran kepada AG dan anak guamnya untuk merayu.
Rayuan berkenaan membabitkan keputusan Mahkamah Rayuan yang membolehkan Majlis Peguam meneruskan permohonan semakan kehakiman tersebut.
“Mahkamah Persekutuan masih belum menetapkan tarikh pendengaran rayuan itu kerana notis rayuan baru sahaja difailkan pada 19 Okt,” katanya kepada pemberita selepas prosiding.
AG diwakili Peguam Persekutuan Safiyyah Omar dan Imtiyaz Wizni Aufa Othman, manakala S Abhilaash hadir bagi pihak Majlis Peguam.
Awal bulan ini, Mahkamah Persekutuan memberikan kebenaran kepada AG dan Zahid untuk merayu terhadap keputusan yang membuka laluan kepada cabaran Majlis Peguam berhubung pemberhentian semua 47 pertuduhan dalam kes Yayasan Akalbudi.
Mahkamah mendapati kedua-dua pemohon memenuhi syarat ambang bagi kebenaran merayu mengikut Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Sebelum itu, pada 7 Mei, Mahkamah Rayuan sebulat suara membenarkan rayuan Majlis Peguam selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur enggan memberikan kebenaran untuk semakan kehakiman berkenaan.
Dalam keputusannya, Mahkamah Rayuan menjelaskan bahawa cabaran Majlis Peguam tertumpu kepada keputusan eksekutif AG untuk menghentikan pendakwaan.
Cabaran itu bukannya terhadap perintah mahkamah jenayah yang kemudiannya memberikan Zahid pelepasan tanpa pembebasan (DNAA).
Zahid diberikan DNAA bagi kesemua 47 pertuduhan tersebut pada September 2023.
Sumber: Free Malaysia Today (Faisal Asyraf)






