
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan Peguam Negara untuk menangguhkan prosiding semakan kehakiman Badan Peguam yang mencabar keputusan pihak pendakwaan menghentikan kes penyelewengan dana Yayasan Akalbudi melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut peguam, Datuk Guok Ngek Seong yang mewakili Presiden UMNO itu, Hakim Datuk Azizan Md Arshad memberikan kebenaran itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan diputuskan pada prosiding yang dijalankan di kamar hakim.
Pada 8 Oktober lalu, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada Ahmad Zahid dan Peguam Negara untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Badan Peguam memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan pendakwaan untuk menghentikan kes rasuah Yayasan Akalbudi.
“Hakim membenarkan permohonan tersebut (tangguh semakan kehakiman) susulan perkembangan yang berlaku di Mahkamah Persekutuan. Tarikh pendengaran rayuan di Mahkamah Persekutuan masih belum ditetapkan kerana pihaknya baru sahaja memfailkan notis rayuan iaitu pada 19 Oktober lalu,” katanya kepada pemberita selepas prosiding itu.
Tambah peguam itu yang turut hadir bersama peguam Mohd. Shahrul Fazli Kamarulzaman bagi pihak Ahmad Zahid tidak membantah terhadap penangguhan tersebut.
Prosiding hari ini turut dihadiri Peguam-Peguam Persekutuan, Safiyyah Omar dan Imtiyaz Wizni Aufa Othman mewakili Peguam Negara dan peguam Abhilaash Subramaniam yang mewakili Badan Peguam
Pada 7 Mei lalu, Mahkamah Rayuan memberikan kebenaran kepada Badan Peguam untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Peguam Negara pada 4 September 2023 yang menghentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid.
Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 27 Jun 2024 yang menolak permohonan Badan Peguam untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman itu dan Ahmad Zahid, yang merupakan responden kedua yang dicadangkan dalam prosiding semakan kehakiman itu, kemudian memfailkan permohonan pada 25 Mei lepas untuk mendapatkan kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd, Dusuki Mokhtar pula memfailkan permohonan berasingan untuk mendapatkan kebenaran merayu.
Dalam permohonan semakan kehakiman itu, Badan Peguam memohon deklarasi daripada Mahkamah Tinggi bahawa keputusan dibuat Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan, yang melepaskan dan membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan Yayasan Akalbudi adalah terbatal dan tidak sah.
Mahkamah Tinggi membenarkan untuk dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan mahkamah bahawa Jabatan Peguam Negara berhasrat menghentikan prosiding itu terhadap Ahmad Zahid bagi meneliti bukti-bukti baharu. –UTUSAN
The post Mahkamah Tinggi tangguh semakan kehakiman DNAA Ahmad Zahid appeared first on Utusan Malaysia.






