KOTA KINABALU - Bekas pengarah sebuah hospital di negeri ini yang didakwa terbabit dalam kes gangguan seksual tidak diturunkan gred, sebaliknya hanya ditukar penempatan secara pentadbiran bagi memastikan proses siasatan dalaman terhadapnya berjalan lancar.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, keputusan berkenaan dibuat susulan siasatan dan investigasi dalaman yang dijalankan terhadap pegawai berkenaan.
Beliau berkata, pegawai itu kini ditempatkan di Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) sebagai pegawai perubatan (MO) namun gred perkhidmatannya dikekalkan.
"Saya tetap dengan apa yang saya nyatakan. Siasatan dalaman kita telah mengambil keputusan itu, opsyen sama ada digantung tugas atau dipindahkan penempatan secara pentadbiran untuk memastikan kelancaran proses siasatan tidak akan terganggu.
"Beliau ditempatkan di bahagian Jabatan Kesihatan Negeri sebagai MO dan ini adalah satu keputusan kita ambil secara sedar.
"Kita tidak menurunkan gred jawatan beliau, sebaliknya hanya menukar penempatannya supaya beliau tidak memain peranan sebagai pengarah hospital untuk tidak mengganggu siasatan dalaman yang akan dibuat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Kesihatan Sabah (MA63) di sini, pada Isnin.
Sementara itu, Dr Dzulkefly memaklumkan Pusat Jantung Sabah dijangka siap sepenuhnya pada suku ketiga 2027 dan mula beroperasi dua tahun kemudian, iaitu pada suku ketiga 2029.
Katanya, projek bernilai RM125 juta itu merupakan projek baharu di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) Rolling Plan 1 (RP1) bagi tahun 2026.





