Syarikat dicadang Muhyiddin disahkan terima RM16.4 juta

LocalPolitics
17 Aug 2026 • 4:17 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Syarikat dicadang Muhyiddin disahkan terima RM16.4 juta

KUALA LUMPUR: Syarikat pembinaan, Nepturis Sdn. Bhd. telah menerima bayaran RM16.4 juta daripada Kerajaan Malaysia bagi projek membina Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, Selangor, di bawah Program Jana Wibawa.

Bekas Pengarah Jabatan Kerja Raya Selangor, Lokman Nasir mengesahkan pembayaran itu ketika dirujuk Baucar Bayaran Kerajaan Malaysia, Arahan Pembayaran Daripada Kumpulan PTJ Negeri Selangor, Jabatan Kerja Raya Selangor kepada Nepturis.

Baucer-baucer tersebut bertarikh di antara 17 Mei 2022 dan 3 Februari 2023.

“Selain itu, terdapat beberapa pembayaran lain, yang masih dalam proses atau belum dilaksanakan pada waktu berkenaan,” kata saksi pendakwaan ke-23 ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes yang dihadapi Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Yasin berkaitan dengan program Jana Wibawa di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.

Salah satu pertuduhan yang dihadapi Muhyiddin ialah menggunakan kedudukannya untuk suapan iaitu wang berjumlah RM1,000,000 daripada Nepturis.

Pada 17 Julai lalu, Pengarah Urusan Nepturis Sdn. Bhd., Mohd. Rizman Akum Khan dalam keterangannya menyatakan beliau telah diarahkan oleh pemilik bersama syarikat itu untuk menyediakan sekeping cek untuk Bersatu.

Bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika memberi keterangan memberitahu beliau menerima surat daripada Pejabat Perdana Menteri melalui Ketua Setiausaha Sulit Muhyiddin (ketika itu), Datuk Dr. Marzuki Mohamad bersama surat sokongan daripada syarikat-syarikat termasuk Nepturis yang mengandungi minit persetujuan Muhyiddin.

Terdahulu, pihak pendakwaan meminda pertuduhan keempat yang dihadapi Muhyiddin dengan memasukkan nama syarikat KCJ Engineering Sdn. Bhd. (KCJ Engineering) dalam pertuduhan keempat yang dihadapi oleh Muhyiddin.

Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin kemudian membenarkan pendakwaan membuat pindaan terhadap pertuduhan itu selepas permohonan berkenaan tidak dibantah oleh pembelaan.

Pertuduhan itu sebelum ini hanya menyebut bahawa Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Parti Bersatu telah menggunakan kedudukannya untuk suatu suapan iaitu wang berjumlah RM4,800,000 daripada Azman Yusoff bagi parti berkenaan.

Pada Julai lalu, Pengurus Kewangan KCJ Engineering, Zuriedah Deres @ Musa memberitahu beliau telah diarahkan pengarah urusan syarikat itu, Datuk Azman Yusoff untuk menyediakan empat keping cek berjumlah RM800,000 kepada Bersatu.

Saksi pendakwaan ke-19 berkata, beliau dimaklumkan bahawa cek-cek berkenaan adalah sumbangan berkaitan Projek Jana Wibawa yang telah dianugerahkan kepada KCJ Engineering.

Selain menghadapi empat pertuduhan membabitkan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM225.3 juta bagi parti itu daripada empat syarikat, Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima hasil berjumlah RM200 juta daripada aktiviti haram yang dimasukkan ke dalam akaun parti Bersatu.

Perbicaraan bersambung esok.- UTUSAN

The post Syarikat dicadang Muhyiddin disahkan terima RM16.4 juta appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved