
Kota Kinabalu: Seorang bekas pelajar sebuah sekolah menengah di Kota Belud memberitahu mahkamah bahawa dia dan rakan sekelasnya diminta menulis esei atau “surat aku janji” untuk memuji guru bahasa Inggeris yang didakwa tidak masuk ke kelas untuk mengajar.
Siti Nafirah Siman, 23, yang menyaman guru Bahasa Inggeris Mohd Jainal Jamrin atau dikenali sebagai Mr JJ sebagai defendan pertama dan enam yang lain, kerana didakwa enggan mengajar subjek itu kepadanya lapan tahun lalu berkata, Pengetua SMK Taun Gusi, Suid Hj Hanapi telah membuat tawaran kepada dia dan rakan sekelasnya sebagai balasan untuk menguruskan guru ganti bahasa Inggeris bagi kelas 4PD sehingga akhir tahun akademik 2015.
“Saya dan rakan sekelas diminta menulis esei untuk memuji Mr JJ sebagai seorang guru dan mengakui secara bertulis bahawa dia telah berhenti datang ke kelas untuk mengajar kami kerana kenakalan kami dan bahawa kami harus dipersalahkan untuk itu.
“Saya dan rakan sekelas bersetuju untuk menulis esei itu kerana kami takut dan didesak untuk berbuat demikian oleh Pengetua, dan kami juga terdesak untuk mendapat guru ganti,” katanya dalam keterangan saksinya.
SPONSORED CONTENT Firefly’s inaugural flight to Sandakan SANDAKAN: Firefly, the low-cost carrier subsidiary of Malaysia Airlines; made its inaugural flight from Kota Kinabalu to Sandakan on Tuesday. Read more Siti memberi keterangan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Ismail Brahim, dalam perbicaraan saman itu pada Isnin.
Menurut Siti, kandungan esei itu tidak benar kerana dia dan rakan sekelasnya terpaksa menulis “esei tidak benar” kerana terdesak ketika itu memandangkan mereka bakal menduduki peperiksaan akhir.
Dia memberitahu mahkamah bahawa Suid telah meminta mereka menulis perkara baik mengenai Mr JJ agar dia akan memasuki semula kelas mereka untuk mengajar.
Siti seterusnya berkata, selepas mereka menulis esei itu, dua hari kemudian, Mr JJ menyambung semula mengajar kelas 4PD subjek bahasa Inggeris tetapi hanya sehari di mana dia mengajar mereka cara mengarang surat tidak rasmi yang mudah.
“Peperiksaan akhir kami diadakan seminggu selepas dia menyambung tugas mengajar. Topik-topik kami diuji semasa peperiksaan akhir adalah topik sama yang pernah dibincangkan semasa dia masuk ke kelas, termasuk surat tidak rasmi itu.
“Seolah-olah tujuan Mr JJ mengajar kami pada minggu terakhir itu semata-mata untuk membincangkan topik tertentu yang kami akan hadapi semasa peperiksaan akhir kami,” kata Siti.
Selain Mohd Jainal, Siti turut menamakan Suid, SMK Taun Gusi, Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud, Pengarah Pendidikan Sabah, Ketua Pengarah Pendidikan, Menteri Pendidikan serta Kerajaan Malaysia masing-masing sebagai defendan kedua, ketiga, keempat, kelima, keenam, ketujuh dan kelapan.
Dalam pernyataan tuntutannya, Siti berkata defendan pertama adalah seorang guru di sekolah itu dan pada setiap masa ditugaskan untuk mengajar bahasa Inggeris kepada pelajar di Kelas 4 Perdagangan (4PD), di mana plaintif berada.
Dia mendakwa defendan pertama gagal menghadiri dan mengajar kelas bahasa Inggeris dan juga mendakwa defendan kedua gagal mengambil sebarang langkah munasabah untuk memastikan defendan pertama mengajar pelajar 4PD, dan tahu bahawa kegagalan itu akan menyebabkan pelajar tidak bersedia untuk peperiksaan seperti yang ditetapkan di bawah Akta Pendidikan.
Plaintif menuntut, antara lain, pengisytiharan bahawa defendan pertama, kedua, keempat, kelima, ketujuh dan kelapan telah melanggar kewajipan berkanun mereka di bawah Akta Pendidikan dengan gagal memastikan dia diajar bahasa Inggeris dari Feb 2015 hingga Okt 2015 dan menyediakannya untuk peperiksaan seperti yang ditetapkan di bawah Akta Pendidikan.
Dia juga menuntut pengisytiharan bahawa defendan pertama, kedua, keempat, kelima, ketujuh dan kelapan telah melanggar kewajipan mereka di bawah Peraturan 3C, 25, 26 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1913; pengisytiharan bahawa perbuatan yang diadukan oleh defendan pertama, kedua, keempat, kelima, ketujuh dan kelapan adalah sebagai misfeasance dalam jawatan awam.
Dia juga memohon pengisytiharan bahawa defendan pertama, kedua, keempat, kelima, ketujuh dan kelapan telah melanggar hak perlembagaannya untuk mendapat akses kepada pendidikan yang dijamin kepadanya di bawah Perkara 5, yang dibacakan bersama Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan, ganti rugi, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Dalam keterangan saksinya, Siti berkata dia memutuskan untuk memfailkan tindakan terhadap defendan bagi menguatkuasakan dan melindungi haknya untuk mendapat pendidikan sebagai pelajar sekolah menengah, dan memastikan guru benar-benar mengajar pelajar dalam tempoh/jadual waktu yang ditetapkan oleh sekolah.
Dia berharap melalui saman itu, ia akan menamatkan budaya takut untuk bersuara mengenai ketidakhadiran atau kegagalan guru mengajar.
Menurut Siti, Mr JJ telah berhenti mengajar kelas 4PD sekitar Mac 2015 dan ketika itu, dia juga telah berhenti mengajar kelas 4GEO.
“Saya masih ingat perkara ini dengan jelas kerana kali terakhir Mr JJ memasuki kelas adalah ketika dia memberikan kami soal selidik untuk dilengkapkan selewatnya Feb 2015, dan memberitahu kami bahawa kami akan membincangkan jawapan bersama pada minggu berikutnya. Tetapi minggu berikutnya dia tidak pernah muncul.
“Pada April 2015 selepas menyedari Mr JJ telah berhenti sama sekali untuk datang ke kelas untuk mengajar, rakan sekelas saya Juliana Supe, Nuratika Denar dan Farah Jaafar dan saya pergi berjumpa Cikgu Latifah yang sebelum ini mengajar kami subjek sains untuk bertanya bagaimana kelas 4PD boleh mendapat guru ganti.
“Cikgu Latifah menasihati kami supaya memujuk Mr JJ untuk mengajar kami. Dia juga menasihatkan kami untuk berjumpa dengan pengetua sekiranya kami tidak dapat berjumpa dengan Mr JJ.
“Pada hari yang sama selepas kami bercakap dengan Cikgu Latifah, kami cuba mencari Mr JJ di bilik rehat guru tetapi dia tiada. Kami kemudian pergi mencarinya di pejabatnya tetapi kasutnya ada di luar. Kami mengetuk pintu tetapi tiada siapa yang menjawab.
“Pada hari yang sama kami bertemu Cikgu Latifah, kami melihat Mr JJ sedang makan di kantin sekolah semasa rehat. Pada hari itu, dia dijadualkan mengajar kelas 4PD untuk satu waktu iaitu 30 minit, sejurus selepas rehat tetapi dia tidak datang ke kelas. Sebaliknya, kami melihatnya di kantin sekolah bercakap dengan guru lain,” katanya.
Dia berkata lagi bahawa dia tidak meminta Mr JJ supaya datang ke kelas untuk mengajar apabila dia melihatnya masih di kantin kerana Mr JJ terkenal dengan sikap panas barannya dan agak menakutkan untuk menjadi tumpuan kemarahannya.
Menurut Siti, mereka telah memaklumkan kegagalan Mr JJ untuk mengajar subjek bahasa Inggeris pada awal Mei 2015 sejurus sebelum peperiksaan pertengahan penggal kepada Pengetua.
“Rakan sekelas Juliana Supe, Farah Jaafar, Halimah Mohd Yusuf dan saya pergi berjumpa Pengetua semasa rehat kerana kami berasa tertekan sebab peperiksaan semakin hampir tetapi kami masih tiada guru untuk mengajar kami subjek bahasa Inggeris.
“Kami memberitahu Pengetua bahawa Mr JJ telah berhenti mengajar kami subjek bahasa Inggeris sejak Mac 2015, dan kami memerlukan guru ganti. Bagaimanapun, Pengetua memberitahu kami tiada seorang pun guru di sekolah itu yang mempunyai masa untuk menjadi guru ganti.
“Dia meminta kami menyelesaikan masalah kami dengan Mr JJ dan bertanya kepadanya apa yang menyebabkan dia begitu marah sehingga dia enggan mengajar kami. Pengetua berkata, “Kalau kelas bawah, ada ka tiada cikgu, tetap gagal juga...kelas bawah teruk” (jika kelas corot, sama ada guru hadir atau tidak, kamu tetap gagal…kelas corot memang teruk),” katanya.
Siti memberitahu mahkamah bahawa dia mengalami tiga kerugian akibat kegagalan Mr JJ memasuki kelas untuk mengajarnya.
Tiga kerugian itu ialah; dia tidak mendapat pendidikan lebih baik ketika itu, dia juga terpaksa membahagikan masa untuk mempelajari sukatan pelajaran Tingkatan Empat pada masa yang sama dia perlu mempelajari sukatan pelajaran Tingkatan Lima, dan kurang peluang untuk mendapat kerjaya yang lebih baik selepas tamat persekolahan.
Peguam Shireen Sikayun mewakili Siti sementara Peguam Kanan Persekutuan Mohd Hafizi Abdul Halim yang dibantu oleh Peguam Persekutuan Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir mewakili defendan.
Perbicaraan diteruskan hari ini (Selasa).
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.


