Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di seluruh negara melonjak mendadak sebanyak 266 peratus, dengan 99,601 kes dilaporkan sehingga Minggu Epidemiologi ke-17 2025 (ME17/2025) berbanding hanya 27,236 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa sebanyak 10 peratus kes melibatkan wabak, manakala 90 peratus berlaku secara sporadik. Namun, tiada kematian dilaporkan setakat ini.
Selangor, Johor dan Perak antara paling terjejas
Lima negeri mencatatkan jumlah kes tertinggi setakat ini:
- Selangor – 27,118 kes
- Johor – 9,864 kes
- Perak – 9,347 kes
- Kelantan – 7,147 kes
- Kuala Lumpur & Putrajaya – 6,850 kes
Menurut KKM, jumlah wabak turut meningkat kepada 2,649 berbanding 1,339 tahun lalu naik 49 peratus. Wabak terbanyak berlaku di taska (22%), diikuti tadika (18%), tabika (11%) dan pra-sekolah (9%).
Lebih 1,000 premis diarah tutup, townhall kesedaran digiatkan
Hasil pemeriksaan ke atas 38,285 premis melibatkan taska, tadika, tabika, pra-sekolah dan rumah kediaman, 1,140 premis diarahkan tutup di bawah Akta 342, manakala 430 premis ditutup secara sukarela.
Dalam usaha membendung penularan, 220 sesi townhall dan taklimat telah dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah di seluruh negara.
Amalan kebersihan asas penting cegah jangkitan
KKM turut menyeru ibu bapa dan penjaga agar:
- Menggalakkan basuh tangan sebelum makan dan selepas ke tandas
- Membasmi kuman pada alat permainan, bilik air dan barangan yang sering disentuh
- Elak berkongsi barangan peribadi seperti cawan, tuala dan berus gigi
- Segera bawa anak ke klinik jika bergejala dan jangan benarkan ke taska atau tempat awam
Sebarang maklumat lanjut mengenai HFMD boleh dirujuk di laman infosihat.moh.gov.my atau Facebook rasmi KKM.
The post Kes HFMD meningkat 266 peratus, lebih 99,000 kes dilaporkan setakat April 2025 appeared first on The Reporter.


