Kes Kemalangan Maut Babit Pegawai Tentera Mabuk & YouTuber Bangladesh: Apa Yang Kita Tahu Setakat Ini

24 Apr 2026 • 3:43 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: Kes Kemalangan Maut Babit Pegawai Tentera Mabuk & YouTuber Bangladesh: Apa Yang Kita Tahu Setakat Ini

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sejak awal pagi semalam (23 April) kecoh media sosial mengenai insiden kemalangan maut membabitkan sebuah Ford Fiesta berwarna putih dan kenderaan e-hailing jenis Perodua Alza di Lebuhraya MEX dari arah Salak Selatan menghala ke Jalan Tun Razak.

Insiden tersebut yang menyebabkan kematian penumpang Perodua Alza, seorang lelaki warga Bangladesh akibat kecederaan parah di kepala nyata menjadi perhatian ramai kerana pemandu Ford Fiesta yang juga seorang pegawai tentera disyaki memandu dalam keadaan mabuk (DUI).

View on Threads

Mangsa dan isteri baru tiba dari KLIA untuk bercuti

Lebih menyedihkan mangsa yang meninggal dunia, Muzahid Millad, 22 dan isterinya Nafisa Tabassun Adiba yang berusia 20 tahun baru sahaja tiba di Malaysia untuk bercuti dan bersiar-siar di sekitar ibu negara selama seminggu.

Menurut bapa saudara mangsa, Mohibul Hassan, 50, pasangan dari Habiganj, sebuah daerah di Timur Laut Bangladesh yang sudah dua tahun berkahwin itu aktif sebagai ‘vlogger’ pelancongan dan ini adalah kali kedua mereka datang ke Malaysia.

Namun semakan kami di media sosial mendapat Muzahid atau turut digelar “Mujahid” adalah seorang influencer terkenal di sana.

Malah difahamkan, Muzahid juga adalah YouTuber Gaming dengan pengikut di akaun YouTube miliknya, Advance Gaming, sahaja sudah mencecah hampir 800,000 orang.

Pemergian YouTuber berkenaan turut diratapi rakan-rakan streamer dan peminat di Bangladesh hingga ada yang membuat video dedikasi di atas pemergiannya.

Bapa saudaranya dan keluarga turut berharap keadilan dapat ditegakkan buat Allahyarham Muzahid.

Bagaimana kemalangan berlaku? Pegawai tentera pandu lawan arus sebelum rempuh Alza

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa siasatan awal mendapati Ford Fiesta dipandu pegawai tentera berusia 31 tahun dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh MPV tersebut.

“MPV itu dipandu lelaki tempatan berusia 41 tahun dan sedang bergerak lurus di lorong kiri ketika kejadian. Kenderaan tersebut membawa dua penumpang warga Bangladesh berusia 22 dan 20 tahun yang baharu tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).”

Impak pelanggaran itu menyebabkan Muzahid yang duduk di barisan tengah maut di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.

“Mangsa duduk di bahagian tengah tempat duduk penumpang. Seorang lagi penumpang wanita berusia 20 tahun (isterinya) cedera dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

Pemandu e-hailing yang membawanya turut mengalami kecederaan di kepala, manakala seorang penumpang wanita di dalam Ford Fiesta turut cedera.

Pegawai tentera ditahan reman 5 hari, bacaan alkohol melebihi had dibenarkan & kes kini disiasat di bawah Seksyen 302KK

Pada mulanya polis telah menahan pegawai tentera berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) kerana memandu di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan kematian.

Ujian pernafasan alkohol yang dilakukan turut mendapati bacaannya melebihi had dibenarkan. Pun begitu ujian saringan air kencing adalah negatif.

Namun dalam satu perkembangan terbaharu, Mohd Zamzuri memaklumkan polis kini telah membuka kertas siasatan kes bunuh terhadap pegawai tentera berkenaan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol, lapor Harian Metro.

Suspek juga telah direman selama lima hari bermula 24 April hingga 28 April 2026 bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sebagai info pertuduhan membunuh ini membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun, serta sebatan sekiranya hukuman mati tidak dikenakan.

Apa respon MINDEF?

Kementerian Pertahanan (Mindef) sebelum ini telah menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung kemalangan terbabit.

Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, beliau tidak mahu membuat sebarang kesimpulan awal mengenai perkara itu dan mahu ianya disiasat dengan telus oleh pihak polis mesipun ia membabitkan anggota dari pasukan keselamatan negara.

“Pendirian kementerian adalah siasatan bebas perlu dijalankan tanpa mengira status atau latar belakang pelaku.

“Walaupun itu tentera, tapi biarlah polis lakukan siasatan,” katanya dipetik Sinar Harian.

Netizen mahu hukuman berat

Terdahulu, rata-rata netizen dilihat senada dengan Mohamed Khaled yang mahu kes ini disiasat dengan telus dan pelaku dikenakan hukuman yang setimpal tanpa mengira latar belakang dan statusnya,

Ini kerana jika benar dia memandu dalam keadaan mabuk, dia telah melakukan tindakan tidak bertanggungjawab yang akhirnya mengorbankan nyawa orang tidak bersalah.

Malah ada yang mencadangkan kes disiasat di bawah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman lebih berat.

Berikut antara komen yang diberikan netizen:

Image from: Kes Kemalangan Maut Babit Pegawai Tentera Mabuk & YouTuber Bangladesh: Apa Yang Kita Tahu Setakat Ini
Image from: Kes Kemalangan Maut Babit Pegawai Tentera Mabuk & YouTuber Bangladesh: Apa Yang Kita Tahu Setakat Ini
Image from: Kes Kemalangan Maut Babit Pegawai Tentera Mabuk & YouTuber Bangladesh: Apa Yang Kita Tahu Setakat Ini