IPOH – Polis mengesahkan kemalangan jalan raya yang tular di media sosial di dalam terowong Jalan Keramat-Pulai pada 10 Mei lalu berpunca daripada kecuaian penunggang motosikal.
Siasatan mendapati kemalangan itu membabitkan tiga kenderaan iaitu sebuah kereta Honda dipandu lelaki berusia 26 tahun, sebuah Perodua Myvi dipandu wanita berusia 34 tahun serta sebuah motosikal ditunggang lelaki berusia 20 tahun.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, siasatan awal mendapati keterangan diberikan pihak terlibat didapati bercanggah berhubung punca sebenar kejadian.
"Semasa laporan awal dibuat, tiada rakaman kamera papan pemuka (dashcam) dikemukakan kepada polis.
“Sehubungan itu, kes diklasifikasikan sebagai Rujuk Kepada Majistret (RKM) sementara menunggu bukti tambahan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, pada 20 Mei lalu polis menerima rakaman dashcam yang memaparkan kejadian sebenar kemalangan tersebut dan ia dijadikan sebagai bukti tambahan dalam siasatan.
“Hasil penelitian rakaman berkenaan mendapati punca kemalangan adalah disebabkan kecuaian penunggang motosikal.
“Saman telah dikeluarkan terhadap individu terbabit di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 iaitu gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan selain kesalahan memandu tanpa lesen,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan setiap siasatan dijalankan secara profesional, telus dan berdasarkan fakta serta bukti yang diperoleh.
Katanya, sebarang keputusan dan tindakan yang diambil adalah berpandukan hasil siasatan serta keterangan mencukupi tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat berhubung kes ini sehingga boleh menimbulkan kekeliruan,” katanya.
Insiden berkenaan mendapat perhatian umum selepas seorang pengguna akaun di Threads berkongsi video kemalangan dengan hantaran mempersoalkan siasatan dijalankan polis.






