Kes kematian suspek di Langkawi diklasifikasi semula kepada kes bunuh

6 Feb 2024 • 12:19 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Fisol (tengah) bercakap kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, Aloar Setar pada Selasa.

ALOR SETAR - Polis Kedah mengklasifikasikan semula siasatan kes kematian suspek selepas bergelut dengan polis di Langkawi pada Khamis daripada laporan kematian mengejut kepada menyebabkan kematian dan pembunuhan.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, beliau sudah mengarahkan siasatan diklasifikasikan semula selepas keputusan bedah siasat awal mendapati individu itu meninggal dunia akibat kecederaan tumpul di kepala.

"Saya sudah mengarahkan supaya pegawai dari ibu pejabat polis kontinjen (IPK) mengambil alih siasatan daripada polis Langkawi bagi mengelak sikap berat sebelah.

"Kami sedang menyiasat dari semua sudut yang mungkin termasuk unsur daya yang berlebihan," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kedah di sini pada Selasa.

Sebelum ini, tular sebuah video beberapa individu dipercayai anggota polis cuba menahan seorang lelaki di sebuah stesen minyak di Langkawi.

Mengulas lanjut Fisol berkata, setakat ini, seramai 13 individu telah tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes melibatkan kematian lelaki itu, termasuk enam anggota polis terlibat dan tujuh saksi awam di tempat kejadian.

"Setakat ini, saksi anggota-anggota yang terlibat (seramai) enam orang dan kita pun ada saksi-saksi awam yang sudah dipanggil.

"Berdasarkan video (dan) berdasarkan saksi-saksi awam, yang sudah 13 orang kita ambil (keterangan), saya rasa dalam masa terdekat kita akan dapat (hasil siasatan)," katanya.

Jelas beliau, sebelum ini, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Ibu Pejabat Polis (IPD) Langkawi menahan seorang lelaki warga tempatan yang dilihat dalam keadaan mencurigakan pada 29 Januari lepas.

"Semasa tangkapan dibuat ke atas suspek berusia 31 tahun telah berlaku pergelutan," katanya

Tambah Fisol, hasil pemeriksaan turut menemukan satu keratan straw berisi serbuk disyaki dadah jenis heroin dianggarkan seberat 0.21 gram (g) dalam poket hadapan sebelah kanan seluar dipakai suspek dan kes disiasat bawah Seksyen 12(2) ADB 1952.

Menurut beliau, tangkapan dan rampasan dibawa balik IPD Langkawi untuk tindakan dan ujian saringan awal air kencing suspek didapati positif dadah jenis morfin dan siasatan turut dijalankan bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Beliau memberitahu, pihak polis kemudiannya membawa suspek ke Klinik Kesihatan Kuah Langkawi pada jam 8 malam untuk rawatan atas kecederaan dialami sebelum dia rebah dan tidak sedarkan diri semasa di klinik itu.

Katanya, suspek kemudian telah dirujuk ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi dan ditahan di wad zon merah jabatan kecemasan sebelum dimaklumkan meninggal dunia.

Menurut beliau, bedah siasat ke atas lelaki itu seterusnya telah dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada 2 Februari lepas dan mendapati punca kematian adalah disebabkan oleh ‘blunt force trauma to the head’.

"Ekoran daripada kematian tersebut, satu siasatan dijalankan bagi menyiasat dan mengetahui punca sebenar penyebab kepada punca kematian yang berlaku," katanya.

Beliau menegaskan, pihak polis memberi jaminan sentiasa profesional dan telus dalam menjalankan siasatan berhubung kes itu.

Kata Fisol, orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menganggu siasatan dijalankan.