
PETALING JAYA: Kepemimpinan Parti Bersama Malaysia (Bersama) akan menentukan tindakan atau proses tatatertib terhadap pemimpinnya, Nik Nazmi Nik Ahmad susulan isu khalwat.
Pemimpin Bersama, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli berkata, ia perlu melalui proses dan prosedur parti sewajarnya sebelum sebarang keputusan diambil.
“Perkara itu perlu melalui proses parti kerana saya dan Nik Nazmi sebenarnya hanyalah ahli biasa dalam parti.
“Oleh itu, kepemimpinan parti yang perlu melalui dan mengendalikan proses berkenaan. Kita tunggu sekiranya ada kenyataan dikeluarkan oleh Presiden,” katanya.
Hari ini, Nik Nazmi mengesahkan dirinya antara individu yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam kes dua individu bukan mahram berdua-duaan di tempat tertutup di sini pada 15 Oktober lalu.
Mengulas mengenai kenyataan maaf dibuat oleh Nik Nazmi kepada keluarga dan parti, Mohd. Rafizi menyatakan adalah wajar untuk bekas Ahli Parlimen Setiawangsa itu berbuat demikian.
“Sebab itu memang perlu untuk beliau mengeluarkan kenyataan dahulu manakala proses-proses lain akan ditentukan oleh pihak kepimpinan parti kelak,” katanya. –UTUSAN
The post Kes khalwat Nik Nazmi: Rafizi serah tindakan pada kepemimpinan parti appeared first on Utusan Malaysia.






