
Polis menyerahkan kepada Jabatan Veterinar membuat siasatan kes penganiayaan seekor kucing yang dipercayai berlaku di sebuah apartmen servis di ibu kota seperti dalam satu rakaman video yang tular, hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata polis daerah Brickfields menerima satu laporan polis berkaitan kejadian itu pada jam 5.38 petang, tadi.
Katanya, pengadu menyatakan ketika berada di kondominium yang juga lokasi kejadian, melihat satu rakaman video berkaitan insiden itu pada jam 5.26 petang.
"Pengadu telah melihat satu rakaman video di aplikasi Xiaohongshu.com terdapat individu tidak dikenali melakukan penderaan seekor kucing dengan cara menarik tali yang diikat pada leher kucing tersebut.
"Di dalam video itu tertera alamat lokasi kejadian di ruang komen iaitu di sebuah blok apartmen servis di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur. Pengadu tampil membuat laporan untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


