
KUALA LUMPUR - Semua kes mahkamah melibatkan kanak-kanak perlu diberi keutamaan dan diselesaikan dalam tempoh setahun, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Menurut Azalina, garis panduan baharu bagi memastikan kes mahkamah libatkan kanak-kanak diselesaikan dalam masa setahun akan dilancarkan pada 24 Oktober ini di Istana Kehakiman.
Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, Ketua Hakim Negara dan Hakim Besar Malaya turut bersetuju dengan inisiatif tersebut.
“Kita mahu semua kes melibatkan kanak-kanak — sama ada mereka tertuduh atau mangsa — diselesaikan dalam tempoh setahun.
“Ini akan dijadikan panduan kepada mahkamah dan Jabatan Peguam Negara,” katanya, lapor The Star, selepas majlis perasmian bangunan baharu Mahkamah Pengerang, Johor.
Beliau turut memaklumkan bahawa bilik mahkamah khas bagi kes jenayah seksual dan penderaan kanak-kanak sedang diperkenalkan.
Selain itu, “van rakaman bukti” akan digunakan untuk merakam keterangan saksi muda bagi menyokong proses perbicaraan.
“Kadang-kadang apabila kes tertangguh, saksi kanak-kanak mungkin enggan memberi keterangan apabila mereka semakin dewasa atau berasa malu. Sebab itu instrumen baharu seperti kemudahan rakaman mudah alih ini amat penting,” katanya.
Azalina menambah, prosedur baharu itu bertujuan meyakinkan ibu bapa bahawa sekolah dan sistem keadilan negara selamat serta responsif.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan masih berbincang dengan platform media sosial mengenai had umur pengguna.
Katanya, had umur yang dicadangkan ialah 16 tahun ke bawah, sejajar dengan amalan di beberapa negara lain.
“Yang baiknya, kita sudah pun mempunyai Akta Bahaya Dalam Talian (Online Harms Act),” katanya.
Menurut beliau, akta itu dibangunkan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta bahagian perundangan, dan pelaksanaannya akan memperkasakan pemantauan platform media sosial apabila diarahkan kerajaan. - 18 Oktober, 2025
The post Kes mahkamah libatkan kanak-kanak perlu diselesaikan dalam setahun: Azalina appeared first on Scoop.



