
PETALING JAYA – Perdana Menteri menegaskan supaya siasatan dijalankan secara menyeluruh, telus dan tanpa kompromi berhubung kes kematian seorang lelaki ketika dalam tahanan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Cheras, 1 Oktober lalu.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam masa sama, perkembangan siasatan tersebut turut dimaklumkan kepada pihak keluarga.
Menurutnya, beliau juga telah berhubung dengan Ketua Polis Negara bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes berkenaan.
“Saya mengambil maklum kehadiran keluarga Allahyarham Noorizwan Zulkefly untuk menyerahkan surat rayuan kepada saya hari ini, dan amat berdukacita atas pemergian Allahyarham serta memahami kesedihan dan keresahan keluarga yang menantikan jawapan.
“Saya dijadualkan menghadiri beberapa rencana di Melaka hari ini dan telah mewakilkan pegawai saya untuk menerima surat tersebut serta mendengar sendiri perkara yang dibangkitkan keluarga,” katanya pada hantaran Facebook hari ini.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan punca kematian orang kena tahan (OKT) yang meninggal dunia ketika menerima rawatan di HCTM pada 1 Oktober lalu masih belum dimuktamadkan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata, pihak polis masih menunggu laporan lengkap daripada Jabatan Kimia dan keputusan pemeriksaan patologi bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.
Seramai 78 saksi sudah dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang lelaki ketika dalam tahanan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Cheras, 1 Oktober lalu.
Dalam masa sama, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Aida Abdul Hamid dipetik berkata, seramai 78 saksi sudah dirakam keterangan bagi membantu siasatan tersebut yang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) melibatkan pelbagai sudut.– KOSMO! ONLINE
The post Kes mati dalam tahanan: Siasat secara telus – Anwar appeared first on Kosmo Online.






